Pemain muda belum pamer kemampuan sebenar, terlalu selesa dengan keadaan semasa  

222

Pemain terbaik Piala Malaysia Futsal 2022, Khairul Effendy masih belum berpuas hati dengan aksi pemain muda yang dimiliki oleh negara pada hari ini.

Khairul atau lebih dikenali sebagai Ayon merupakan antara pemain berpengalaman yang masih menjadi taruhan utama skuad negara di kejohanan-kejohanan besar meskipun umurnya yang sudah menjangkau pertengahan usia 30-an.


“Mungkin pemain muda tampak terlalu selesa dengan keadaan sekarang dan perjalanan karier mereka yang masih panjang.

Untuk saya, saya akan lebih menikmati perjalanan karier saya yang berbaki lebih dua tiga tahun lagi.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Situasi ini jelas terbukti apabila beberapa pasukan gergasi di saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim ini masih mengharapkan barisan pemain yang lebih tua.

Namun, perkara ini sedikit sebanyak telah berjaya diubah pada beberapa perlawanan terakhir pasukan Selangor MAC apabila seorang jurulatih dari luar negara dibawa masuk bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan di barisan kejurulatihan.

Pembantu pengurus pasukan, Marcelo Serpa merupakan antara nadi kebangkitan luar biasa yang ditunjukkan oleh pasukan Selangor MAC terutamanya pada perlawanan akhir untuk menewaskan pasukan Pahang Rangers FC (PRFC).  

Kad merah yang diberikan kepada pemain utama pasukan, Ekmal Shahrin nyata memberi impak besar kepada pasukan tersebut yang dilihat sedikit terumbang-ambing pada separuh masa pertama.

“Ketiadaan seorang pemain sedikit mengganggu di babak pertama, namun dengan bantuan taktikal yang diterapkan oleh Coach Marcelo berjaya membantu kita bangkit di babak kedua.

Pengambilan jurulatih luar negara akan membuka peluang kepada pemain muda mendapatkan peluang bermain adalah lebih banyak berbanding pemain yang lebih tua dan berpengalaman.”

Keadaan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain muda yang dimiliki oleh pasukan Selangor seperti Danial Dain yang akan menjadi prospek masa depan untuk pasukan futsal kebangsaan.

Pada masa yang sama, penjaring gol kemenangan, Firdaus Ambiah turut bertekad untuk menggunakan pengalaman bersama beberapa buah pasukan besar sebelum ini untuk membantu meningkatkan tahap keyakinan dan prestasi semasa pemain muda.

“Pemain-pemain muda masih kurang pengalaman, kami sebagai pemain berpengalaman akan cuba membantu mereka untuk menjadi lebih baik di masa hadapan.”

Beliau yang sebelum ini pernah menyertai skuad kebangsaan bagaimanapun enggan mendabik dada terlebih dahulu meskipun berjaya membantu Selangor MAC untuk memenangi dua gelaran berganda musim ini.

“Harapan saya untuk mengekalkan prestasi semasa buat masa ini tetapi saya rasa belum sampai masanya untuk saya kembali menyarung jersi kebangsaan.

Saya tahu di mana tahap saya tetapi jika diberikan peluang saya akan tetap berikan yang terbaik.”

Firdaus dan Ayon masing-masing berjaya menjaringkan dua gol untuk muncul sebagai wira pasukan Selangor untuk menewaskan pasukan PRFC 4-3.

Lebih manis, kejayaan ini disambut di hadapan penyokong sendiri yang membanjiri Kompleks Sukan Negara Panasonic dengan laungan semangat mereka.