Kemenangan bermakna sebagai penutup musim cemerlang Selangor MAC, Pahang Rangers tidak beri jalan mudah

490

Pemangku jurulatih pasukan Selangor MAC, Khairi Aswad menzahirkan kegembiraan beliau selepas berjaya membimbing pasukannya untuk menjuarai Piala Malaysia Futsal 2022 yang pertama kali diadakan pada tahun ini.

Lebih bermakna, ini merupakan piala kedua buat pasukan Selangor pada musim ini selepas berjaya menjuarai saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) mengatasi lawan yang sama, Pahang Rangers FC (PRFC) yang berada di tempat kedua.


“Kemenangan ini bermakna kerana selepas menjuarai saingan MPFL, pasukan Selangor MAC telah melakukan beberapa perubahan untuk menghadapi saingan piala ini.

Ternyata pertukaran ini berjaya membuahkan hasil yang diingini oleh pasuka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Meskipun berjaya memenangi perlawanaan, aksi pasukan Selangor dilihat tidak menyakinkan pada permulaan perlawanan.

Tambahan pula, pasukan PRFC telah menggunakan taktikal permainan yang kemas dan berjaya mengucar kacirkan bahagian pertahanan pasukan Selangor melalui beberapa gerakan merbahaya.

Pada masa yang sama, pertukaran taktikal yang dilakukan oleh ketua jurulatih PRFC, Gerard Casas turut memberi kesan kepada pergerakan pemain Selangor di minit-minit akhir perlawanan sehingga dibolosi sebanyak dua kali menuju ke penghujung perlawanan.

“Lima minit terakhir Pahang Rangers memulakan taktikal power play dan berjaya menembusi gawang pasukan dua kali.

Tetapi pemain tetap bertahan dengan baik untuk mengekalkan kedudukan sehingga ke minit-minit akhir perlawanan.”

Pada masa yang sama, kejayaan pasukan Selangor pada saingan Piala Malaysia Futsal 2022 ini dilihat hasil daripada kemasukan seorang jurulatih berpengalaman, Marcelo Serpa yang dibawa masuk untuk memperbaiki kekurangan pasukan.

Marcelo pernah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Futsal di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2012.

Taktikal yang digunakan oleh beliau sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi kebangkitan luar biasa yang ditunjukkan oleh pasukan Selangor.

“Pasukan lawan telah melakukan tugas yang baik dan kami bertuah kerana berjaya kembali di separuh masa kedua.

Saya merasakan kejayaan pada malam ini adalah sangat bermakna kerana pasukan Pahang Rangers merupakan sebuah pasukan yang hebat.”

Kehilangan pemain utama di bahagian serangan, Ekmal Shahrin berjaya diatasi dengan baik oleh Marcelo dan pasukan untuk mengejar dan mendahului pasukan PRFC sejurus babak kedua bermula.

“Kami kehilangan seorang pemain yang penting dan mengganggu taktikal yang telah ditetapkan.

Tetapi kami berjaya mengatasi kekosongan tersebut dan mampu kembali mendapatkan rentak dan beraksi dengan baik.”

Antara kejayaan Marcelo adalah apabila berjaya membantu pasukan futsal kebangsaan menjadi naib juara di Kejohanan OFC pada tahun 2013 serta membawa skuad negara layak ke Kejohanan Futsal AFC 2014.

Kehadiran Marcelo dan Khairi ditambah dengan barisan kejurulatihan sedia ada yang dimiliki oleh pasukan Selangor MAC akan membantu pasukan tersebut meneruskan dominasi mereka di saingan liga tempatan.