Cemerlang ketika kelayakan Piala Asia 2023, namun kelibat Akhyar Rashid sudah lama tidak kelihatan

22,591

Disebalik kegembiraan peminat ketika pasukan kebangsaan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit bulan lalu, nama pemain muda Akhyar Rashid turut menjadi tumpuan ketika itu kerana beliau antara penyumbang kepada kejayaan skuad negara.

Walaupun amat jarang diturunkan bersama kelabnya di Johor Darul Ta’zim (JDT), namun Akhyar mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sepanjang kempen Kelayakan Piala Asia dan kelibatnya sentiasa menjadi perhatian peminat.


Rata-rata peminat nyata tidak sabar mahu melihat kesinambungan aksi cemerlang bersama skuad Harimau Malaya ke JDT pula, namun sayangnya kelibatnya seakan-akan hilang sejak pulang dari tugasan negara.

Timbul persoalan kemana hilangnya Akhyar kerana dalam beberapa perlawanan JDT sebelum ini termasuk yang terbaru ketika perlawanan Piala FA menentang Melaka United FC, nama beliau masih tiada dalam senarai pemain gantian.

Malah kelibat beliau juga tidak kelihatan pada sesi latihan berdasarkan gambar latihan yang dimuat naik oleh JDT di laman sosial rasmi mereka.

Difahamkan ketiadaan Akhyar dalam skuad dan latihan ketika ini kerana beliau didenda oleh kelabnya sendiri selepas videonya memegang rokok tersebar sebelum ini.

Jika perkara ini benar, ia membuktikan bahawa pihak pengurusan JDT sangat menitik beratkan soal disiplin pemain terutamanya apabila berkaitan dengan soal kesihatan.

Sesuai dengan slogan yang sering dilaungkan oleh mereka iaitu ‘No one is bigger than club’ yang memperlihatkan walaupun prestasi seseorang pemain itu cemerlang ia tidak akan menjamin beliau akan diturunkan jika tidak berdisiplin.

Pengajaran yang dilakukan oleh pasukan Harimau Selatan ini patut dicontohi oleh pasukan bola sepak lain dalam mendidik pemain mereka bukan sahaja menjadi pemain bola sepak profesional, tetapi juga jadi seorang insan yang mempunyai disiplin dan akhlak terpuji.

Bilakah peminat akan dapat melihat aksi Akhyar di atas padang? Sama-sama kita tunggu.