Insiden di Jakarta International Stadium boleh jejas peluang Indonesia anjur Piala Asia 2023

9,107

Setelah tiga tahun proses pembinaan, stadium baru kebanggaan rakyat Indonesia terutama penyokong Persija Jakarta, Jakarta International Stadium (JIS) akhirnya dibuka secara rasmi semalam dengan penganjuran perlawanan persahabatan antara kelab tersebut dan Chonburi FC.

Walaupun berstatus ‘friendly’, ramai penyokong Persija Jakarta turun membanjiri ‘rumah’ baru bagi memberi sokongan.


JIS juga akan menjadi venue bagi perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan Indonesia selepas satu persetujuan antara Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan pihak pengurusan stadium.

Pujian harus diberikan buat Indonesia kerana berjaya membina sebuah stadium bola sepak berkelas dunia dan diiktiraf sebagai stadium dengan bumbung boleh laras yang mempunyai kapasiti terbesar di Asia iaitu seramai 82,000 penonton serta yang kedua terbesar di dunia.

Jurulatih dan pemain Chonburi turut menghamburkan pujian terhadap JIS yang disifatkan sebagai sebuah stadium yang luar biasa.

Di sebalik kemeriahan perlawanan persahabatan yang berkesudahan 3-3 itu, terdapat satu insiden yang berlaku ketika pembukaan stadium tersebut apabila pagar penghadang di tempat duduk penonton roboh ketika penyanyi, Virza sedang membuat persembahan pembukaan.

Ia dikatakan roboh berikutan jumlah penyokong yang terlalu ramai dan terdapat sebilangan daripada mereka yang memanjat pagar.

Walaupun teknologi dan fasiliti di stadium tersebut begitu gah, insiden seperti mencacatkan sedikit reputasinya, lebih-lebih lagi berlaku ketika upacara pembukaannya.

Sepatutnya segala aspek keselamatan sudah diperiksa dan dipastikan berada dalam keadaan terbaik sebelum ia dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Tambahan pula, ia juga bakal menganjurkan kejohanan Piala Dunia B-20 tahun depan, justeru segala insiden yang berlaku boleh memberi kesan terhadap lokasi ia dilangsungkan.

Indonesia merupakan salah satu negara yang menghantar bidaan untuk menganjurkan kejohanan Piala Asia 2023 selain Korea Selatan, Qatar dan Australia, jadi insiden seperti ini harus diambil serius kerana ia memberi kesan besar terhadap keputusan akhir pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat insiden tersebut, jika tidak sudah tentu ia akan menjadi upacara pembukaan itu menjadi tragedi hitam yang akan menghantui stadium itu sampai bila-bila.

Pengurusan stadium harus menjadikan perkara ini sebagai pengajaran dan memastikan segala aspek keselamatan dipertingkatkan supaya insiden seperti itu tidak berulang lagi.

Jika tidak, sia-sia sajalah segala penat lelah serta kos sebanyak USD312 juta (RM1.389 bilion) yang dilaburkan untuk membangunkan stadium tersebut.

Apa-apa pun tahniah buat Indonesia kerana pasukan kebangsaannya kini sudah mempunyai stadium khas untuk bola sepak sahaja yang berkelas dunia.