Liga Malaysia dirombak menjadi lebih dinamik, pengadil juga perlu ‘dirombak’ jadi profesional

657

Baru-baru ini Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan penstrukturan semula Liga Malaysia kerana mahu memastikan liga bola sepak profesional negara lebih dinamik dan berdaya saing.

Ia adalah satu inisiatif yang bagus dan disambut baik oleh ramai, walaupun ada yang mempertikaikan penstrukturan yang dikatakan cuba menyelamatkan beberapa pasukan ada ‘nama’ dari jatuh ke liga bawah.


Musim 2023 akan menyaksikan sebanyak 18 pasukan bersaing dalam Liga Super dengan saingan Liga Perdana dimansuhkan buat sementara waktu.

Apabila perlawanan semakin banyak, bermakna jumlah pengadil perlawanan juga perlu ditambah seiring dengan pertambahan perlawanan.

Saban tahun termasuklah ketika ini, masalah mutu pengadilan masih lagi menjadi perdebatan ramai kerana ia tampak semakin melarat apabila ada kesilapan yang dilakukan pengadil terutamanya apabila membabitkan perlawanan antara dua buah pasukan besar.

Perkara ini sudah lama dibangkitkan tetapi sehingga kini masih tiada tindakan drastik dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini.

Memandangkan Liga Super akan menjadi lebih kompetitif, maka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari jalan untuk naik taraf pengadil amatur yang ada ketika ini kepada pengadil profesional.

Ketika ini pengadil menjadi individu yang paling teruk dikecam, ditohmah, diugut dan pelbagai lagi apabila melakukan kesilapan dan ini boleh menyumbang tekanan yang cukup besar buat pengadil.

Tambahan pula, tiada teknologi yang diguna pakai sebagai bantuan kepada pengadil seperti VAR (video assistant referee) dan teknologi garisan gol menyebabkan banyak pengadil terpaksa membuat keputusan ‘samar-samar’ kerana mereka sendiri tidak pasti dengan apa yang berlaku.

Mungkin FAM boleh ikut jejak langkah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berhasrat membawa masuk pakar psikologi bagi membantu menguatkan mental pemain badminton negara.

FAM boleh tawarkan khidmat pakar psikologi atau kaunseling kepada pengadil ini supaya mereka akan tampil tenang dalam apa sahaja situasi di atas padang.

Jika mereka mampu kekal tenang, maka tidak mustahil kesilapan dapat membuat keputusan akan berkurangan.

Ramai peminat bola sepak tanah air terdesak mahu melihat mutu pengadilan Liga Malaysia meningkat naik dan berharap agar pihak FAM memandang serius perkara ini dan tindakan diambil sebelum saingan Liga Super musim 2023 bermula.