Kejayaan Wei Chong-Kai Wun di Terbuka Taipei bukti rombakan beregu satu tindakan tepat
Kejayaan beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjulang kejuaraan Terbuka Taipei 2022 semalam satu kejayaan yang dinanti-nantikan peminat badminton tempatan selepas kekecewaan di beberapa kejohanan sebelum ini.
Lebih membanggakan mereka yang berada di ranking ke-36 dunia berjaya melakar kejutan besar dalam karier mereka apabila menumbangkan juara Olimpik, Lee Yang-Wang Chi-Lin yang berada di ranking keempat.
Ia merupakan kejuaraan kedua buat mereka tahun ini selepas berjaya memenangi Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India Januari lalu.
Sebelum mereka bersama, kedua-dua pemain itu sebenarnya pernah dipasangkan bersama pemain lain terlebih dahulu.
Dua pasangan terdahulu Kai Wun adalah Chang Yee Jun (2020) dan Ng Yong Chai (2018) manakala bagi Wei Chong pula adalah Chia Wei Jie (2020), Choong Hon Jian (2019).
Sebelum ini terdapat banyak suara yang menggesa BAM merombak semula pasangan beregu negara yang gagal menyerlah di beberapa kejohanan, terutama pasangan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dikatakan sudah tiada persefahaman.
Sebelum ini, Aaron pernah digandingkan dengan Teo Ee Yi ketika kempen Thomas Cup dan gandingan itu menunjukkan prestasi yang baik menyumbang mata-mata penting buat skuad negara.
Malaysia juga jarang sekali melakukan rombakan terhadap pemain beregu utama walaupun tidak menampilkan prestasi yang baik dalam tempoh yang lama.
BAM harus lebih berani untuk memisahkan gandingan yang sudah lama tidak menunjukkan prestasi yang baik bagi kebaikan para pemain.
Presdien BAM, Tan Sri Norza Zakaria sebelum ini juga pernah memberi isyarat bahawa kem beregu negara akan melalui rombakan.
Mungkin kejayaan yang dilakar Wei Chong-Kai Wun boleh dijadikan contoh bahawa perpecahan bukanlah satu perkara yang buruk tetapi permulaan kepada gandingan yang lebih baik.