Kejayaan Hazwan Bakri contoh terbaik untuk para pemain JDT, disiplin dan komitmen kunci utama kejayaan

2,731

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri kembali menemui sentuhan berbisanya apabila berjaya menyumbang satu gol untuk membawa Harimau Selatan layak ke saingan separuh akhir Piala FA.

Hazwan berjaya menjaringkan gol seawal minit keempat untuk membantu JDT menewaskan pasukan Melaka United FC di Stadium Hang Jebat.


Kesabaran dan kerja keras Hazwan telah membuahkan hasil dan pemain berusia 31 tahun ini perlu menjadikan jaringan ini sebagai motivasi untuk beliau terus berusaha mendapatkan rentak kecemerlangannya semula.

Terdahulu, Hazwan cukup dikenali sebagai antara penyerang tempatan yang cukup berbisa di kancah saingan Liga Malaysia.

Beliau juga pernah memenangi gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada tahun 2016 selepas berjaya membantu bekas pasukannya, Selangor FC untuk memenangi Piala Malaysia tahun sebelumnya.

Hazwan yang pernah diletakkan sebagai penyerang utama negara juga kerap diturunkan bersama pasukan JDT II dalam saingan Liga Perdana.

Situasi ini mampu menjadi pembakar semangat kepada semua bekas pemain negara yang turut beraksi untuk pasukan JDT II seperti Adam Nor Azlin dan Izham Tarmizi untuk terus meningkatkan prestasi semasa untuk mendapatkan peluang beraksi bersama skuad utama di Liga Super.

Kehadiran muka baru seperti pertahanan negara, Junior Eldstal dan bekas pemain Kuala Lumpur City FC, Daniel Ting yang telah diturunkan pada aksi menentang TRW Kelantan FC akan menambahkan lagi saingan dalam mendapatkan tempat di kesebelasan utama pasukan.

Namun, tiada masalah untuk para pemain ini mengekalkan kualiti permainan terbaik ekoran daripada corak latihan berintensiti tinggi yang digunakan oleh barisan kejurulatihan JDT ditambah dengan fasiliti latihan berkelas dunia yang dimiliki oleh pasukan.

Pemain-pemain ini perlu memanfaatkan kelebihan ini untuk segera mempertingkatkan kualiti permainan mereka tatkala setiap pasukan di Liga M akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar susulan penstrukturan semula liga pada musim depan.

Sudah semestinya akan ada penambahan dan pertukaran yang akan terjadi terhadap barisan pemain yang dimiliki oleh JDT pada masa ini.

Kesemua pemain ini perlu bangkit untuk mempertahankan kedudukan mereka di dalam pasukan sekaligus membuka peluang untuk kembali menyarung jersi kebangsaan satu hari nanti.

Hal ini termasuk beberapa orang pemain Harimau Malaya seperti Syamer Kutty dan Syafiq Ahmad yang dilihat kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Mereka perlu membuktikan kemampuan agar dapat menyakinkan ketua jurulatih, Benjamin Mora untuk mengekalkan khidmat mereka pada saingan musim yang akan datang.

Disiplin dan komitmen merupakan asas utama yang diperlukan oleh seseorang pemain untuk beraksi bersama kelab besar seperti JDT.