Dana RM15 juta untuk hadapi saingan musim depan lebih dari cukup – jika tiada import
Penstrukturan liga pada musim depan yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini akan menyebabkan setiap pasukan perlu meningkatkan jumlah perbelanjaan masing-masing.
Ini kerana setiap pasukan yang beraksi di Liga Super musim depan perlu menyediakan sebuah pasukan di Liga Simpanan B-23 serta membuat pilihan sama ada ingin menghantar sebuah pasukan ke Piala Belia atau Piala Presiden.
Kesemua ini memerlukan perbelanjaan yang amat besar untuk setiap pasukan ditambah dengan peningkatan jumlah pemain import yang dibenarkan.
Terdahulu, bekas pengurus pasukan Selangor, Zakaria Rahim memberikan angka RM15 juta sebagai jumlah ‘minimum’ yang perlu dimiliki oleh sesebuah pasukan untuk mengharungi saingan liga musim depan.
Namun, jumlah tersebut boleh dianggap rendah tatkala kesemua pasukan semestinya ingin memanfaatkan kelebihan sembilan pemain import yang dibenarkan oleh MFL untuk pasukan utama dan pasukan B-23.
Tambahan pula, perbelanjaan logistik setiap pasukan juga akan meningkat secara mendadak apabila setiap pasukan perlu menghadapi 34 perlawanan semusim berbanding hanya 22 perlawanan semenjak 2013.
Sebagai contoh, pasukan PJ City FC yang merupakan pasukan dalam Liga Super bajet paling sedikit pun memerlukan sekitar RM8 juta semusim.
Jumlah tersebut termasuk dengan pendekatan yang diambil oleh pasukan tersebut untuk tidak mendapatkan khidmat pemain import.
Jadi, secara logiknya jumlah minimum yang diperlukan oleh sesebuah pasukan sebagai persediaan musim depan adalah RM30 juta untuk mendapatkan khidmat pemain import yang berkualiti.
Pasukan yang tidak mempunyai kantung kewangan yang besar perlu lebih realistik dalam berbelanja pada jendela perpindahan kelak.
Pada masa yang sama, isu kewangan ini akan menjadi masalah untuk pasukan amatur dari Liga M3 yang akan dinaikkan ke Liga Super musim hadapan jika mereka berjaya menang perlawanan play-off.
Kinabalu Jaguar FC dan Harini FT merupakan antara calon utama berdasarkan prestasi semasa di saingan liga tersebut.
Isu ini akan menjadi halangan terbesar yang perlu dihadapi oleh pihak pengurusan pasukan tersebut sebelum mereka memulakan saingan musim depan.
‘Ukur baju di badan sendiri’, kuota sembilan import bukanlah suatu kewajipan yang perlu dipenuhi oleh kesemua pasukan.
Jangan malu untuk mengikut jejak langkah pasukan PJ City yang akan kekal dengan pendirian #YakiniLokal pada musim depan seperti yang dinyatakan oleh ketua jurulatih pasukan, P. Maniam.
Pihak pengurusan kesemua pasukan di Liga Malaysia perlu memandang serius perkara ini bagi mengelakkan berlakunya masalah yang sama seperti pemotongan dan kegagalan pembayaran gaji di pertengahan saingan musim depan.
Kawalan kewangan yang baik dan teratur akan membantu untuk mewujudkan saingan liga yang lebih sihat dan kompetitif di masa hadapan.