Maskot Sukan Komanwel 2022 sentuhan anak Malaysia, inspirasi buat atlet negara di bumi Birmingham

1,301

Antara perkara yang paling penting dalam setiap kejohanan sukan adalah kehadiran maskot yang menjadi simbol bagi sesuatu kejohanan.

Bagi Sukan Komanwel 2022 yang akan membuka tirainya 28 Julai ini, maskot berupa seekor lembu bernama Perry telah dipilih bagi kejohanan itu.


Apa yang membanggakan ialah ia merupakan rekaan oleh anak Malaysia berusia 10 tahun yang menetap di Birmingham, iaitu Emma Lou.

Rekaan Emma terpilih setelah memenangi acara mencipta maskot yang disertai lebih 50 kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun di sekitar Birmingham dan West Midlands pada tahun 2020.

Menurut Emma, pemilihan lembu jantan sebagai maskot adalah berdasarkan nama tempat yang terdapat di kota Birmingham iaitu Bullring.

Bentuk heksagon di badan Perry pula dipilih kerana ia merupakan bentuk terkuat dan membawa maksud ‘semua orang saling bergantung antara satu sama lain’.

Emma sendiri terkejut apabila rekaannya dipilih sebagai maskot rasmi bagi kejohanan itu.

Beliau dilahirkan di Malaysia dan kini menetap di Birmingham selepas ibu bapanya berpindah ke Britain pada 2017.

Sebagai warga Malaysia, ini adalah satu perkara yang cukup membanggakan melihat karya anak tempatan diangkat di peringkat antarabangsa.

Mengambil inspirasi dari kisah Emma ini, ia diharap mampu menjadi pembakar semangat buat atlet-atlet negara yang akan bertanding di kejohanan itu nanti.

Seramai 105 orang atlet akan membawa nama Malaysia di kejohanan empat tahun sekali itu dengan harapan dapat mengibarkan Jalur Gemilang di atas podium.

Alangkah bangganya mendengar lagu Negaraku berkumandang di bumi Birmingham sambil melihat Jalur Gemilang dikibarkan bersama maskot yang mendapat sentuhan anak Malaysia.