MFL tak akan wujudkan penetapan gaji siling pemain

1,057

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mewujudkan penetapan gaji siling pemain bola sepak.

Stuart berkata demikian bagi menjawab persoalan ramai peminat yang tertanya-tanya mengapa pihak MFL tidak membuat penetapan gaji siling berikutan saban tahun pasti masalah tunggakan gaji timbul.


“Saya memang tak setuju dengan salary cap ini kerana kita berada dalam dunia bola sepak profesional. Jika saya perkenal pun salary cap, banyak lagi cara untuk mereka cuba elak salary cap.

Konsep salary cap ini bukan senang kerana ia mungkin akan mewujudkan satu budaya yang sememangnya kita mahu elak berlaku. Sepatutnya kelab yang perlu tentukan kerana jika mereka mampu bayar gaji, teruskan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya lagi, jika MFL memperkenalkan penetapan gaji siling ia hanya sekadar gimik kerana perkara itu agak mustahil untuk dilaksanakan.

MFL bagaimanapun tidak akan membiarkan masalah hutang terus membelenggu kancah bola sepak negara, sebaliknya mereka akan memperkenalkan Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang akan bermula pada musim 2024/2025.

ECP yang mahu diperkenalkan oleh MFL ini diadaptasi dari ECP yang diperkenalkan oleh LaLiga yang mana ia akan mewujudkan peraturan belanjawan, kriteria, prosedur dan templat kepada semua kelab di Malaysia supaya mereka patuh pada peraturan bagi mengelak mereka berbelanja secara berlebihan.

Cadangan ECP Liga Malaysia sudah pun diusulkan pada tahun 2019, namun ia tidak dapat dilaksanakan berikutan dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Pada tahun 2024/2025 kita akan menyusulkan lebih banyak program ECP yang akan dijadikan level playing field dari segi buku. Ketika ini kita masih belum pulih dari pandemik kerana perniagaan, penaja, penyiaran masih terkesan dengan pandemik.

Kalau ekonomi tak stabil, kita pun nak stabilkan bola sepak bagaimana. Kita tahu ekonomi negara perlu pulih semula sebelum kita dapat melaksanakan ECP nanti.”

Dalam pada itu, Stuart turut mengulas lanjut mengenai isu kuota sembilan pemain import yang sedang hangat diperkatakan ketika ini apabila ramai yang mendakwa bahawa ia akan memberi impak kepada pemain tempatan.

Jelasnya, tiada isu penambahan kuota pemain import langsung kerana pihak MFL hanya mahu bersikap adil kepada semua pasukan yang sebelum ini tidak mempunyai feeder club.

“Ia bukan penambahan kuota pemain import kerana sebelum ini hanya tiga pasukan seperti Terengganu FC, Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim yang mempunyai ‘kelebihan’ ini kerana mereka mempunyai feeder club.

Jadi kami mahu level playing field dengan kini semua pasukan boleh mempunyai sembilan pemain import. Tetapi perlu perlu ingat, ia hanyalah kuota dan tidak wajib pun setiap pasukan ambil sembilan pemain.”

Tambahnya lagi, MFL hanya menetapkan peraturan, oleh itu ia tanggungjawab CEO atau pemilik kelab sendiri untuk menguruskan kewangan mereka sendiri.

Menerusi penstrukturan Liga Malaysia baru, kuota pemain import untuk skuad utama dibenarkan untuk mendaftarkan enam pemain import dengan seorang pemain import dibangku simpanan.

Tiga lagi pemain import adalah untuk skuad B-23 yang mana hanya dua pemain import dibenarkan berada atas padang pada satu masa.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen