Pasukan hoki ais tampil cemerlang, usaha JDT luaskan kuasa dalam sukan lain sekali lagi membuahkan hasil
Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengambil pelbagai inisiatif dalam mengembangkan dan menaik taraf jenama kelab di samping membantu pembangunan sukan Malaysia.
Salah satu daripadanya adalah melalui penubuhan pasukan hoki ais yang diperkenalkan pada awal tahun lepas.
Lebih membanggakan, kedua-dua pasukan yang dihantar oleh JDT berjaya mempamerkan kehebatan masing-masing selepas mendominasi salah satu liga utama sukan hoki ais di Malaysia, Weekend Warriors Ice Hockey League (WWIHL).
Penganjuran musim keempat ini telah disertai oleh tujuh buah pasukan yang telah berentap sebanyak 12 kali dalam saingan liga.
Perlawanan akhir yang berlangsung tempoh hari dimenangi oleh pasukan JDT B selepas menewaskan pasukan JDT A dengan keputusan 4-2.
Penglibatan kelab besar seperti ini adalah satu perkara yang amat baik dan menggalakkan dalam mempromosikan lagi hoki ais ini kepada semua peminat sukan tanah air yang kurang menyedari akan kewujudan sukan yang begitu ternama di Amerika Syarikat ini.
Meskipun sukan ini kurang popular di Asia Tenggara, Malaysia sebenarnya berada di ranking yang agak baik dan boleh dibanggakan.
Kejayaan ini menandakan usaha yang dilakukan oleh JDT membuahkan hasil yang sangat hebat.
Selain itu, penglibatan JDT yang juga salah sebuah pasukan terbaik di Asia Tenggara dalam pelbagai sukan lain juga mampu membuka mata ramai pihak untuk mencontohi inisiatif sebegini.
Ini juga menjadi bukti kebijaksanaan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan barisan pengurusan dalam mengembangkan lagi empayar kelab dalam sukan lain sesuai dengan tagline popular mereka ‘Luaskan Kuasamu’.
Baru-baru ini juga, pasukan e-sukan yang ditaja JDT, GBX Esports Team berjaya menempatkan diri di kedudukan 16 terbaik dunia dalam kejohanan FIFAe Club World Cup 2022.
Di rantau ini, Singapura dilihat satu-satunya negara yang aktif dalam mempromosi sukan hoki ais, jadi apa yang dilakukan oleh JDT ini adalah satu peluang yang baik bagi memartabatkan lagi sukan itu di peringkat nasional dan juga di rantau ini.
Walaupun hoki ais tidak begitu popular di Malaysia, ia merupakan sukan utama di beberapa negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Jerman.
Tidak mustahil dengan sokongan yang diberikan oleh JDT, ia mampu mengangkat lagi tahap hoki ais di negara ini sehingga mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi-gergasi dunia tersebut.
Siapa tahu, mungkin selepas ini JDT akan mengembangkan lagi ‘franchise’nya dalam sukan lain seperti ragbi dan hoki.
Lagipun, kedua-dua sukan ini juga mempunyai potensi besar tetapi tidak begitu mendapat sokongan dan sering dipandang sepi.
Walaupun diketahui mempunyai ramai haters dalam negara, usaha yang dilakukan JDT ini adalah baik untuk perkembangan sukan-sukan lain di tanah air, terutama sukan yang kurang popular dan memerlukan bantuan serta galakan.
Apa yang dilakukan JDT ini boleh dijadikan contoh buat pasukan-pasukan lain untuk tidak menumpukan terhadap bola sepak sahaja tetapi melibatkan diri dalam pembangunan sukan lain.
Majulah sukan untuk negara.