Tiada pemansuhan saingan Piala FA atau pun Piala Malaysia musim 2023

758

Susulan penstrukturan saingan Liga Malaysia pada musim 2023, ramai yang mencadangkan agar salah satu saingan piala samada Piala FA atau pun Piala Malaysia perlu dimansuhkan berikutan jadual yang padat dengan penambahan perlawanan.

Walaupun pihak Malaysian Football League (MFL) mengakui jadual liga pada musim depan sememangnya ‘luar biasa’, namun mereka tidak akan memansuhkan kedua-dua saingan piala itu.


“Saya mahu simpan (kekalkan) kesemua saingan piala kerana setiap kejuaraan ada peranan mereka tersendiri. Saingan piala ini ia ada magik sikit, Piala FA ini dapat beri peluang kepada pasukan amatur yang beraksi dalam saingan Liga M3 dan sesiapa sahaja boleh menang.

Manakala Piala Malaysia pula ia mempunyai aura dan sejarahnya tersendiri kepada bola sepak Malaysia, jadi kedua-dua piala ini memainkan peranan masing-masing,”

ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam kepada Harimau Malaya.

Menurut Stuart, walaupun saingan kedua-dua piala itu dikekalkan pada musim hadapan, namun pihak MFL berkemungkinan akan memperkenalkan format baru bagi Piala FA dan Piala Malaysia.

“Kemungkinan format Piala FA dan Piala Malaysia akan diubah, kemungkinan penawaran final berubah, mungkin bidaan untuk jadi tuan rumah final, mungkin final akan main home dan away.

Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan kerana bagi mereka perlawanan akhir mempunyai nilai ekonomi yang boleh dijadikan sebagai satu perniagaan yang sekaligus memberi impak kepada perniagaan domestik.

Pengumuman format baru bagi kedua-dua saingan piala itu hanya akan diumumkan selepas pihak mereka selesai membuat segala pertimbangan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa tiada pertukaran format saingan liga pada musim hadapan kerana pelbagai perkara perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

Stuart berkata, saingan liga tempatan tidak boleh mengikut seperti liga eropah secara bulat-bulat kerana pelbagai perkara perlu diambil kira terlebih dahulu.

“Kita mahu pastikan struktur liga kita sesuai dengan kalendar pasukan kebangsaan kerana ia menjadi keutamaan. Pada masa sama kita juga perlu mengambil kira infrastruktur negara juga.

Pertukaran kalendar ini bukan semata-mata nak tukar jadual perlawanan sahaja tetapi kita tengok stadium-stadium di Malaysia kebanyakkannya tidak mempunyai bumbung, jadi jika kita mahu main masa monsoon nanti, bagaimana reaksi penyokong pula. Kita perlu utamakan juga keselesaan penyokong.”

Beliau bagaimanapun mendedahkan perkara itu akan terus dibincangkan dan berkemungkinan perubahan jadual liga akan berlaku tetapi ia mungkin akan dilakukan secara berfasa bermula 2024 atau 2025.