Penstrukturan liga musim depan satu petanda yang baik, seiring dengan liga besar di Eropah – Taiki Kagayama

2,762

Pemain tengah Sabah FC dari Jepun, Taiki Kagayama menerima baik perubahan format liga yang dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL) bagi saingan musim depan.

Kagayama melihat perkara ini sebagai penambahbaikan terbaik yang mampu menjulang Liga Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.


“Perubahan ini akan menjadikan Liga Malaysia lebih baik dan hampir serupa dengan liga-liga besar di Eropah yang mempunyai 18 hingga 20 pasukan.

Bagi saya keputusan ini adalah satu tindakan yang bagus,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Meskipun berhadapan dengan jurang perbezaan yang besar, Kagayama yang pernah beraksi bersama tiga kelab berbeza di Finland tetap teruja diberi peluang untuk beraksi di Liga M.

Tambahan pula, beliau merupakan antara pemain pilihan utama yang sering digunakan oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi saingan liga musim ini.

“Banyak perbezaan dari segi taktikal, corak permainan dan cuaca yang membezakan keadaan di sini dan di Finland.

Tetapi saya tetap menikmati proses ini meskipun sedikit berbeza dengan pasukan sebelum ini.”

Pemain berusia 26 tahun itu berjaya memainkan watak penting bagi membantu Sang Badak untuk memperoleh kemenangan penting pada malam ini menentang pasukan PJ City FC.

Gol penyamaan yang dijaringkan oleh beliau pada minit ke-48 merupakan jaringan keduanya pada musim ini selepas 13 perlawanan.

Ketiadaan pemain utama seperti Park Tae-su dan Baddrol Bakhtiar yang direhatkan akibat kecederan cukup memberi kesan yang besar kepada barisan pemain muda yang dibariskan oleh pasukan Sabah.

“Ia merupakan satu perlawanan yang sukar dan bukan mudah, kami gagal bermula dengan baik namun kemenangan ini merupakan kejayaan yang besar kepada kami.

Kami bermula dengan agak kekok kerana kesemua pemain muda kurang berpengalaman dan jarang diturunkan tetapi persembahan mereka pada babak kedua cukup membanggakan.”

Selepas ini, Sabah akan menerima kunjungan pasukan Melaka United yang berjaya mencatatkan kemenangan selesa, 4-1 menentang Pulau Pinang pada hari yang sama.

Ketenangan Kagayama mengemudi bahagian tengah akan terus ditagih untuk memastikan impian Sabah mengakhiri kempen musim ini dengan cemerlang dapat direalisasikan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen