Prinsip #YakiniLokal PJ City buka peluang untuk pemain tempatan hadapi perubahan liga musim depan – Darren Lok
Penyerang PJ City FC, Darren Lok yakin pendekatan yang digunakan oleh pasukannya untuk tidak menggunakan khidmat pemain import akan memberi manfaat kepada pemain tempatan bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.
PJ City yang terkenal dengan slogan #YakiniLokal akan terus berpegang pada prinsip tersebut meskipun pihak Malaysian Football League (MFL) telah memperkenalkan kuota pemain import kepada menjadi sembilan orang.
“PJ City telah memberikan platform terbaik untuk pemain tempatan bermain dan semestinya perkara tersebut tidak mudah.
Visi dan misi yang dimiliki oleh pemilik PJ City adalah bagus dan menjamin peluang kepada pemain tempatan yang datang untuk bermain dengan pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Namun, sesuatu perlu dilakukan oleh barisan kejurulatihan pasukan PJ City tatkala mereka dilihat sedikit bergelut untuk bersaing dengan pasukan besar yang memiliki kekuatan dari segi pemain import.
Kekalahan 2-1 kepada pasukan Sabah FC meneruskan lagi rekod tanpa menang pasukan tersebut kepada sembilan perlawanan.
Kali terakhir pasukan ini menang adalah pada aksi menentang Terengganu FC pada Jun yang lalu.
Lebih menyedihkan, pasukan PJ City gagal memanfaatkan kekurangan yang dimiliki oleh pasukan Sabah yang turun tanpa beberapa pemain utama selepas tewas tipis di laman sendiri.
“Kami sangat kecewa, Sabah tidak mempunyai pasukan yang lengkap tapi kami gagal memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya.”
Pada masa yang sama, Darren yang merupakan antara pemain utama pasukan Harimau Malaya akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasinya menjelang pusingan akhir Piala Asia yang akan berlangsung tahun hadapan.
“Untuk saya, saya akan terus bermain bola sepak dan lebih banyak permainan akan membantu saya untuk mempertajamkan lagi aksi saya di atas padang.
Saya berharap untuk terus menyumbang di pasukan PJ City serta pasukan kebangsaan.”
Ketajaman Darren di bahagian hadapan akan terus ditagih oleh ketua jurulatih, P. Maniam untuk menghadapi baki saingan liga musim ini.
Pemain berusia 30 tahun ini berada di prestasi terbaik setelah berjaya menjaringkan tujuh gol sepanjang 11 perlawanan liga setakat ini.
“Musim ini adalah antara musim yang baik untuk saya dari segi jumlah jaringan gol.
Tetapi kami turut memiliki pemain yang cukup berkualiti yang juga mampu menjaringkan gol tetapi kami perlu memperbaiki keputusan.”
PJ City perlu segera bangkit bagi menyiapkan diri berhadapan dengan sebuah lagi pasukan hebat, Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 1 Ogos ini.