Mahalli Jasuli percaya masih ada peluang untuknya di skuad kebangsaan, pasang impian kembali menyarung jersi Harimau Malaya
Pemain versatil PJ City FC, Mahalli Jasuli tidak menolak kemungkinan untuk kembali beraksi bersama pasukan kebangsaan.
Sebagai salah seorang pemain berpengalaman dalam pasukan, Mahalli sering menjadi pemain pilihan ketua jurulatih, P. Maniam untuk memperkuat barisan serangan.
“Untuk saya, saya masih berpeluang untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Saya masih ada meletakkan sasaran untuk kembali menyarung jersi kebangsaan tetapi perkara ini akan menjadi cabaran yang besar untuk buktikan melalui persembahan dalam liga,“
katanya kepada Harimau Malaya.
Mahalli yang sebelum ini dikenali sebagai bekas pertahanan negara, sering diletakkan di bahagian sayap untuk membantu menghasilkan peluang merbahaya kepada penyerang utama, Darren Lok.
Namun, lorongan berkualiti dari pemain ini gagal menciptakan jaringan kepada pasukan PJ City yang masih berhadapan dengan kemarau kemenangan selepas sembilan perlawanan.
Kegagalan menentang pasukan Sabah FC nyata mengecewakan penyokong tatkala pasukan tersebut telah mendahului permainan pada babak pertama menerusi jaringan Darren.
“Kami bermain dengan baik di separuh masa pertama namun segalanya berubah selepas mereka mula menjaringkan gol penyamaan.
Jaringan gol kedua Sabah menutup peluang kami untuk kembali bangkit pada perlawanan ini.”
Walaupun begitu, pemain berusia 33 tahun ini tidak merasakan ketiadaan pemain import memberi kesan yang besar kepada persembahan semasa pasukannya.
Tetapi, masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh P. Maniam bagi meningkatkan kualiti persembahan anak buahnya pada perlawanan yang akan datang.
“Saya rasa ketiadaan pemain import bukanlah isu yang sangat besar kerana kami telah berada dalam situasi ini setahun lebih.
Apa yang saya nampak pada beberapa perlawanan sebelum ini adalah banyak kesilapan individu di bahagian pertahanan dan sebagainya yang menyebabkan kegagalan mencapai kemenangan.”
Mahalli selaku antara pemain senior dalam pasukan tidak ralat dengan perubahan liga yang akan dijalankan pada musim depan.
Peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kesemua pemain tempatan untuk merebut tempat di dalam pasukan bagi mendapatkan jumlah permainan yang lebih banyak.
“Bagi saya, perubahan liga adalah peluang yang baik untuk para pemain mendapatkan lebih minit permainan.
Setiap pasukan akan sentiasa melakukan rotasi kerana tidak semua pemain boleh bermain sepanjang 34 perlawanan.”