Pernah jadi mangsa kelicikan Safawi, Kim Min-jae sah jadi pengganti Koulibaly di Napoli

1,409

Pemain pertahanan tengah Korea Selatan, Kim Min-jae sah berpindah ke gergasi Serie A Itali, Napoli dengan harga €19.5 juta.

Beliau dipilih oleh ketua jurulatih Partenopei, Luciano Spalletti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pertahanan kental dari Senegal, Kalidou Koulibaly yang berpindah ke Chelsea.


Kim yang berusia 25 tahun telah menjadi antara pemain utama pasukan Fenerbache dalam mengharungi aksi musim lepas.

Kekebalan beliau di bahagian pertahanan berjaya meletakkan pasukan tersebut di tangga kedua Liga Super Turki.

Kim yang mempunyai ketinggian 1.91 meter, turut diletakkan sebagai kesebelasan utama oleh ketua jurulatih Fenerbache, Jorge Jesus bagi mengharungi saingan Liga Eropah pada musim 2021-22.

Apa yang menarik adalah, Kim merupakan salah seorang bekas pemain pasukan B-23 tahun Korea Selatan yang pernah ditewaskan oleh skuad muda negara di perlawanan bola sepak Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Pada perlawanan tersebut, kelincahan dan kehebatan penyerang, Safawi Rasid nyata gagal dikawal oleh Kim.

Safawi muncul wira pada perlawanan tersebut setelah menjaringkan dua gol untuk membawa pasukan negara layak ke pusingan kalah mati kejohanan itu.  

Namun, kejayaan tersebut hanya terhenti di situ selepas kesemua pemain yang membarisi skuad negara ketika itu tidak memiliki perkembangan karier yang serupa dengan lawan mereka.

Selain Kim, penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan merupakan salah seorang lagi pemain yang semakin mengembangkan karier di Eropah di samping Son Heung-min yang cukup dikenali di arena bola sepak antarabangsa.

Situasi berbeza dengan pemain negara, hampir kesemua dari mereka bermain untuk kelab di Liga Malaysia dan ada beberapa orang pemain yang hanya memanaskan bangku simpanan.

Hanya Safawi yang berjaya berkelana ke kelab Portugal secara pinjaman di Portimonense SC, namun beliau juga gagal mendapatkan tempat untuk kekal bersama pasukan tersebut dan pulang awal.

Sesuatu perlu diperhalusi kembali oleh badan bertanggungjawab bagi memastikan perkembangan karier pemain muda negara di masa hadapan akan lebih terjamin dan mampu membantu pasukan Malaysia untuk bergerak seiring dengan pencapaian negara di rantau Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam.

Terdahulu, pemain muda Vietnam, Nguyen Quang Hai menandatangani kontrak dua tahun dengan pasukan dari Perancis, Pau FC.