Semua kelab Liga 1 Indonesia bangga sarung jersi rekaan jenama tempatan

1,737

Setiap tahun sebelum musim baru bermula, antara perkara yang dinanti-nantikan peminat bola sepak adalah pelancaran jersi baru pasukan yang merupakan lambang kebanggaan kelab.

Di Indonesia, semua pasukan yang beraksi di Liga 1 musim ini menggunakan jersi yang ditaja oleh jenama tempatan.


Ia juga merupakan satu-satunya liga di ASEAN dengan kesemua pasukan yang bertanding menggunakan jenama tempatan.

Malah ada juga pasukan yang menggunakan jersi yang direka sendiri oleh kelab iaitu PS Barito Putera dan Persis Solo

Bukan sahaja pasukan yang bertanding, jersi pengadil juga turut ditaja oleh jenama tempatan iaitu Mills.

Skuad kebangsaan Indonesia juga turut bangga menyarung jersi yang direka oleh Mills.

Ini adalah satu perkara yang cukup membanggakan dan menunjukkan bahawa pasukan-pasukan di sana memberi sokongan yang padu terhadap jenama tempatan.

Dengan menjalankan kerjasama dengan jenama tempatan, adalah lebih mudah untuk kelab ditaja secara penuh.

Dari segi keuntungan, kelab boleh berunding untuk keuntungan yang lebih tinggi dengan jenama tempatan berbanding jenama-jenama besar dari luar yang mengambil lebih banyak hasil jualan jersi untuk mereka.

Jenama tempatan juga adalah lebih murah daripada jenama luar negara justeru para penyokong juga lebih tertarik untuk membeli jersi kelab.

Ia juga secara tidak langsung dapat mengelakkan ‘budaya’ membeli jersi tiruan dalam kalangan penyokong.

Dengan sokongan yang diberikan oleh kelab-kelab di negara itu, jenama-jenama tempatan juga akan lebih berkembang dan mampu menembusi pasaran luar negara.

Di Malaysia, hanya tiga pasukan iaitu Sri Pahang FC (HakkaClo), Melaka United FC (AL Sports) dan Negeri Sembilan FC (Kaki Jersi) yang menggunakan jenama tempatan daripada 12 pasukan Liga Super.

Satu hari nanti, diharapkan lebih banyak kelab yang ‘terbuka hati’ untuk memilih jenama tempatan sebagai penaja jersi mereka.