Tugas berat menanti KPG, siapa bakal ganti Syamer Kutty kemudi bahagian tengah Harimau Malaya?

2,505

Selepas menampilkan persembahan cemerlang bersama skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Asia 2023 bulan lalu, ramai yang tertanya-tanya ke mana perginya Syamer Kutty Abba yang jarang dilihat bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Segala persoalan akhirnya terjawab apabila JDT akhirnya mengumumkan bahawa pemain itu sedang berada di Barcelona selepas menjalani pembedahan lutut.


Ini bermakna, beliau sudah pasti akan diketepikan selama beberapa bulan bagi menjalani proses pemulihan.

Perkara ini semestinya satu berita yang kurang enak buat ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon kerana Syamer merupakan antara tonggak yang penting buat pasukannya.

Beliau menjadi pilihan Pan-gon dalam kesebelasan utama dalam kesemua perlawanan kelayakan tersebut.

September ini, Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan antarabangsa dalam kalendar FIFA dan dijangka menyertai King’s Cup di Thailand.

Kehilangan Syamer sudah tentu memberi kesan terhadap skuad kebangsaan dan persiapan Pan-gon dalam menghadapi Piala AFF 2022 dan Piala Asia 2023.

Sementara menunggu Syamer pulih, Pan-gon menghadapi tugas yang berat bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain itu.

Tiga pemain dilihat mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Syamer adalah Afiq Fazail, Gary Steven Robbat dan Brendan Gan.

Afiq mungkin calon yang paling sesuai berdasarkan persembahan cemerlangnya bersama JDT.

Beliau juga berjaya mengetepikan Syamer di kesebelasan utama JDT dan menjadi pilihan untuk mengemudi bahagian tengah pasukan.

Mungkin ini juga adalah satu peluang yang baik buatnya untuk menunjukkan kembali kemampuan beliau kepada Pan-gon setelah diketepikan pada kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari.

Gary yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan pada 2014 pula membuktikan beliau masih mampu beraksi dengan cemerlang apabila menjadi pilihan Datuk Ong Kim Swee di bahagian tengah Sabah FC.

Satu ketika dahulu beliau merupakan antara pemain tengah terbaik negara sebelum kariernya merudum beberapa musim.

Sekiranya beliau mampu kembali kepada prestasi terbaiknya, Gary mampu menjadi aset buat Pan-gon.

Brendan yang membuat kemunculan semula selepas sembuh daripada rawatan kanser menjadi salah satu pemain penting buat Selangor FC musim ini

Kehadirannya di bahagian tengah Selangor berjaya membawa perubahan ke dalam pasukan dan menjadi watak penting yang merencanakan serangan pasukan.

Ketika beliau menjalani rawatan, ramai juga penyokong Harimau Malaya yang merindui aksinya di atas padang untuk membuat kerja-kerja ‘kotor’, selain sifat kepimpinan beliau yang amat disegani.

Siapa pun yang terpilih, tanggungjawab yang dipikul bukanlah mudah kerana Syamer telah meletakkan penanda aras yang tinggi ketika mengawal bahagian tengah negara.

Apa yang pasti, penyokong sudah tentu akan merindui aksi Syamer di atas padang dan berharap supaya beliau kembali dengan lebih kuat.