Tekad Hamidin tingkatkan tahap bola sepak wanita harus disertakan dengan pelan yang teliti
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini menyuarakan hasratnya untuk meningkatkan tahap bola sepak wanita ketika menghadiri Simposium Pemerkasaan Wanita yang diadakan sempena Ulang Tahun ke-20 Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF) di Tokyo, Jepun.
Menurut Hamidin, Malaysia juga perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasakan bola sepak wanita.
Hamidin juga meluahkan tekadnya untuk memperbaiki pasukan Malayan Tigress dari akar umbi.
Ini adalah satu perkara yang amat positif bagi arena bola sepak wanita tempatan, lebih-lebih lagi selepas sering dimalukan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
Diharapkan apa yang disuarakan oleh Hamidin ini akan benar-benar berlaku untuk kita melihat pasukan bola sepak wanita negara yang padu.
Sebagai permulaan, FAM perlu menyelesaikan masalah utama iaitu mewujudkan satu liga tempatan yang kompetitif bagi meningkatkan standard pemain wanita negara.
Ketiadaan liga yang kompetitif dilihan menjadi punca utama pemain-pemain wanita negara tidak berdaya saing dan sering menjadi mangsa belasahan di peringkat antarabangsa.
Sampai bilakah FAM mahu terus bergantung kepada persatuan bola sepak negeri seperti Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk mewujudkan liga wanita.
Dari segi wang juga, pelaburan harus dilakukan FAM supaya ia sama dengan bola sepak lelaki.
Tiada lagi layanan kelas kedua terhadap bola sepak wanita sekiranya ia betul-betul mahu meningkatkan taraf bola sepak wanita.
Di peringkat akar umbi juga, harus ada program pembangunan yang baik bagi memastikan pemain-pemain muda tempatan bersedia mewakili negara.
Bola sepak wanita sudah sekian lama dianaktirikan dan sentiasa dipandang sepi, jadi dengan kesungguhan yang ditunjukkan Hamidin ini, semoga tahap bola sepak wanita negara semakin meningkat sehingga mampu menjadi pasukan yang disegani di Asia.