Fayadh Zulkifli mohon maaf pada penyokong setia kerana gagal bawa pulang 3 mata menentang KL City FC
Pemain sayap lincah, Fayadh Zulkifli memohon maaf kepada penyokong setia Kedah Darul Aman FC apabila mereka tewas di tangan KL City FC 2-1 pada perlawanan Liga Super malam tadi
“Kepada penyokong setia Kedah, saya minta maaf kerana malam ini tak ada rezeki buat pasukan untuk menang. Saya harap penyokong semua akan terus beri sokongan kepada kami selepas ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kedah bermula dengan sedikit perlahan sebelum mula mengatur serangan dan berjaya memecah kebuntuan pada penghujung separuh masa pertama menerusi tandukkan penyerang Aiman Afif.
Bagaimanapun apabila perlawanan masuk ke separuh masa kedua, pasukan tuan rumah mula melancarkan serangan dan pada minit ke-56 Jordan Mintah berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.
Tersentak dengan gol penyamaan KL City, Kedah kembali meningkatkan serangan mereka dan mereka kemudian dihadiahkan sepakan penalti tetapi gagal disempurnakan oleh Ronald Ngah Wanja apabila sepakannya terkena palang gol.
Anak buah Bojan Hodak yang bermain dengan baik terus melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-76 apabila Mintah menjaringkan gol kedua KL City dan juga gol kedua peribadinya.
Dalam pada itu, Fayadh berkata beliau dan rakan sepasukan sudah memberikan yang terbaik namun pada malam tadi rezeki tidak menyebelahi mereka.
“Malam ni memang kami tak ada rezeki dan tuah apabila banyak percubaan yang dilakukan gagal disempurnakan termasuk terkena tiang. Saya percaya kami akan bangkit pada perlawanan seterusnya.”
Tambahnya ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak turut memberi kata-kata semangat kepada mereka untuk lupakan kekalahan pada malam tadi dan cuba bangun untuk perlawanan seterusnya.
Nasib tidak baik Kedah berterusan apabila mereka bukan sahaja kehilangan dua pemain import akibat kecederaan iaitu Dechi Marcel dan Marc Vales, tetapi juga ramai pemain yang tidak sihat apabila dijangkiti Influenza sekaligus menjejaskan percaturan asal mereka.
Selepas ini Kedah akan bertemu Sri Pahang FC pada 1 Ogos depan dengan misi untuk mencari kemenangan sebagai pembakar semangat sebelum mereka terbang ke Indonesia bagi menghadapi saingan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC menentang PSM Makassar pada 9 Ogos.