Kami dah rancang untuk bolos sedikit, tetapi pemain hilang fokus di akhir perlawanan – Kok Keng Lin

177

Ketua jurulatih skuad B-18 wanita kebangsaan, Kok Keng Lin mengakui kehilangan fokus ketika lewat permainan menyebabkan anak buahnya bolos empat gol dalam 15 minit ketika menentang Australia dalam perlawanan kumpulan B Piala AFF Wanita B-18.

Pada perlawanan semalam, Malaysia tewas teruk kepada Australia 8-0 dengan masing-masing empat gol dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua.


Menurutnya, beliau telah melakukan perancangan untuk memastikan pasukannya bolos dengan jumlah jaringan yang sedikit pada perlawanan itu tetapi barisan pemain jelas kelihatan penat penuju babak akhir permainan.

“Kita harus akui bahawa Australia mempunyai pemain yang lebih baik daripada kami dari segi teknikal dan juga taktikal.

Apabila mereka menguasai permainan, pemain kita banyak berlari untuk mengejar bola jadi mereka menjadi letih dan seterusnya kehilangan fokus,” katanya.

Menurutnya, pemain Australia memanfaatkan keletihan anak buahnya untuk menjaringkan banyak gol di akhir permainan.

Walaubagaimanapun, beliau berkata pada pemain telah memberikan 100% di atas padang dan mengikut taktikal yang diberikan olehnya.

“Walaupun pemain saya hilang fokus, mereka tetap mencuba tetapi pihak lawan tahu apa mereka mahu lakukan dengan bola.

Kita juga harus lihat bahawa ranking mereka jauh lebih tinggi daripada kita jadi kita harus terima kenyataan mereka memang lebih baik.”

Dalam pada itu, beliau bertekad mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu kemenangan ketika menentang Filipina pada perlawanan terakhir kumpulan.