Perak FC belum bersedia beraksi di Liga Super, masih belum ada ‘winning mentality’ – V. Saravanan

2,306

Bekas pemain Perak FA, V. Saravanan merasakan bahawa bekas kelabnya itu masih belum bersedia untuk bersaing di Liga Super musim depan berdasarkan persembahan musim ini.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai jurulatih di kelab Finland, HJK Helsinki berkata, ini kerana pasukan Perak FC kini kelihatan kurang bertenaga dan menampilkan tempo permainan yang perlahan.


“Saya tak boleh nak salahkan Yusri Che Lah atau para pemain yang ada kerana kita tak boleh nak ubah dalam sekelip mata walaupun kita baru dapat nafas yang baru dengan kehadiran pemilik baru.

Saya tidak kritik taktikal Yusri tetapi saya lihat perlawanan menentang Selangor II baru-baru ini kita kerap kehilangan bola dan para pemain juga lebih banyak berjalan dari berlari,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Saravanan berkata, beliau masih tidak melihat mentaliti kemenangan ditunjukkan dalam skuad Perak ketika ini.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan suara yang mahu kelab mengekalkan Yusri sebagai ketua jurulatih pasukan sehingga akhir musim ini.

Katanya, pihak pengurusan boleh membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan Yusri atau tidak pada penghujung musim atau menjadikan beliau sebagai pembantu ketua jurulatih atau salah seorang staf kejurulatihan.

“Kalau dapat jurulatih yang lebih bagus dari luar negara ataupun dalam negeri pun tiada masalah, Yusri boleh diletakkan dalam barisan kejurulatihan.

Saya sendiri kalau nak datang ke Perak tak kisahlah sebagai ketua jurulatih atau pembantu sekalipun, yang penting kita nak tolong kembalikan zaman kegemilangan kelab.”

Dalam pada itu, beliau berharap pengurusan kelab dapat membuka sebuah akademi bola sepak seawal usia 12 tahun supaya Perak mempunyai pembangunan akar umbi yang mantap dan tidak perlu lagi bergantung kepada pemain yang dibeli.

Tambahnya lagi, bekas-bekas pemain boleh dipertimbangkan untuk menjadi jurulatih di peringkat akar umbi supaya Perak mampu melahirkan ramai pemain yang berbakat.

Sementara itu, Saravanan berkata beliau bersedia untuk berbakti di tanah air sendiri satu hari nanti sekiranya diperlukan, tetapi bukan sekarang kerana beliau mahu menuntut ilmu terlebih dahulu di Eropah sebelum pulang ke Malaysia.

Beliau mengakui sering menonton perlawanan melibatkan pasukan Perak jika berkesempatan dan sering cakna mengenai perkembangan bola sepak negara terutama bekas kelabnya itu walaupun sudah lama berada di luar negara.