Pasukan Liga Malaysia boleh ikut jejak langkah Aston Villa denda pemain tak berdisiplin
Baru-baru ini telah tersebar senarai denda yang dikenakan oleh kelab Liga Perdana Inggeris, Aston Villa terhadap pemain dan barisan staf kejurulatihan yang mempunyai masalah disiplin sejak Steven Gerrard mengambil alih kelab tersebut.
Denda yang dikenakan cukup tinggi antaranya pemain akan dikenakan denda £500 (sekitar RM2,700) jika mereka tiba lewat untuk latihan, manakala untuk jurulatih pula £200 (sekitar RM1,000) setiap minit.
Selain itu, etika pemakaian turut dititik beratkan dengan dendan sebanyak £100 (sekitar RM500) akan dikenakan untuk setiap item yang salah dipakai ketika hari perlawanan.
Banyak lagi peraturan dan denda yang disenaraikan oleh pengurusan kelab tersebut dan tindakan ini dilihat sangat tegas bagi memastikan pemain dan barisan kejurutihan mempunyai disiplin yang tinggi.
Apa yang dilakukan oleh Aston Villa ini boleh dijadikan sebagai contoh yang baik buat pasukan di Liga Malaysia berikutan kita sering mendengar masalah disiplin yang berlaku terutamanya dalam kalangan pemain.
Tidak dapat dinafikan terdapat beberapa pasukan di Liga Malaysia yang dikatakan mempunyai peraturan serupa seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengenakan denda kepada pemain yang datang latihan lewat dan beberapa lagi.
Semua sedia maklum, pasukan JDT adalah sebuah kelab yang sangat mementingkan disiplin pemain kerana tidak mahu imej kelab tersebut tercalar akibat sikap tidak berdisiplin pemainnya.
Malah kelab tidak akan teragak-agak untuk menggantung pemain dari turun berlatih atau beraksi walaupun berada pada prestasi terbaik kerana mereka berpegang pada prinsip ‘No one bigger than the club’.
Jadi tidak hairan pelbagai kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka dan JDT kini adalah juara lapan kali berturut-turut Liga Super.
Jika setiap kelab di Malaysia mempunyai peraturan dan denda yang ketat, tidak mustahil negara akan mempunyai pemain bola sepak profesional yang sangat berdisiplin sekaligus dapat meningkatkan kualiti sesebuah kelab bola sepak.