V. Saravanan mahu semua kelab terapkan latihan intensiti tinggi bagi menyokong gaya permainan KPG

418

Bekas pemain kebangsaan, V. Saravanan mahu semua kelab di negara ini menyokong usaha ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dalam menerapkan permainan berintensiti tinggi dalam skuad kebangsaan.

Menurutnya, pasukan-pasukan tempatan juga harus menerapkan latihan berintensiti tinggi diperingkat kelab supaya pemain tidak mempunyai masalah untuk melakukan perkara sama ketika dipanggil.


“Kenapa ada pemain kebangsaan yang tidak boleh konsisten dengan intensiti tinggi ketika bermain untuk negara? Kerana mereka tak biasa dengan latihan itu ketika bersama kelab.

Kalaulah setiap kelab buat latihan berintensiti tinggi, pemain tiada masalah menyesuaikan diri ketika bersama skuad kebangsaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang ketika ini menjadi jurulatih di kelab Finland, HJK Helsinki turut memuji Pan-gon kerana menerapkan permainan berintensiti tinggi dalam skuad kebangsaan serta kejayaan beliau mengubah mentality para pemain.

Dalam pada itu, beliau turut bersetuju supaya pasukan B-23 negara dilatih oleh seseorang yang mempunyai falsafah yang sama seperti Pan-gon.

Katanya, ia akan memudahkan tugas jurulatih Korea Selatan itu dalam memilih pemain yang boleh diserap dalam skuad kebangsaan.

“Akhirnya Pan-gon yang akan bertanggungjawab terhadap skuad senior jadi kenapa tidak ada sistem yang sama?

Saya di sini juga lakukan perkara yang sama dengan pemain-pemain bawah umur supaya mereka tidak kekok apabila diserap dalam pasukan utama.”

Sementara itu, beliau berkata penyerang tempatan harus meningkat usaha untuk terus bersaing dengan pemain import bagi memberi lebih pilihan pemain skuad kebangsaan.

Katanya, pemain harus cuba untuk menunjukkan prestasi yang baik dan melakukan sesuatu walaupun hanya diturunkan pada 10 minit terakhir.

Beliau berkata, semangat serta usaha yang tinggi akhirnya akan membuahkan hasil dan tidak mustahil pemain tempatan mampu mengetepikan pemain import.