Zamsaham tawar peminat jadi pemilik bersama Kelantan FC
Sejak menyelamatkan pasukan Kelantan FC dari terus lenyap dari Liga Malaysia, pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman terus melakukan pelbagai perancangan untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan kelab itu.
Terbaru, Norizam atau lebih dikenali dengan Zamsaham bakal menjadi kelab bola sepak pertama di Malaysia yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia.
Zamsaham mahu merealisasikan perkara itu kerana mahu memberi peluang kepada penyokong Kelantan atau sesiapa sahaja untuk menjadi pemilik bersama kelab itu.
Sebanyak 30 peratus akan diperuntukkan kepada penyokong atau sesiapa sahaja, manakala 70 peratus lagi adalah miliknya.
“Saya nak allocate sebanyak 30 peratus untuk rakyat Kelantan atau semua peminat bola yang yakin dengan pasukan Kelantan. Baki saya hold 70 peratus untuk mudahkan keputusan halatuju pasukan.
“Yang berminat mestilah sophisticated investor atau syarikat/koperasi dan memenuhi syarat-syarat yang sudah ditetapkan,” tulis Zamsaham di Facebook miliknya.
Zamsaham bagaimanapun tidak memberi sebarang jaminan atau janji ‘bulan dan bintang’, sebaliknya berkata setiap keputusan yang dibuat akan ada pulangan dan risiko-risiko tertentu.
Malah beliau juga akan mengadakan taklimat Pre-IPO Kelantan FC pada Sabtu ini (30 Julai).
Tawaran menjadi pemilik bersama itu nyata mendapat sambutan yang cukup memberasangkan daripada orang ramai.
Apa yang dilakukan Zamsaham ketika ini adalah cara yang terbaik untuk menguruskan sesebuah pasukan bola sepak yang mana mereka tidak hanya mengharapkan dana daripada pihak penaja sahaja untuk menguruskan pasukan tetapi menjana keuntungan sendiri.
Tindakan menawarkan syer dalam pasukan Kelantan sedikit sebanyak memberi penyokong ‘sense of belonging’ sekaligus akan dapat menarik lebih ramai penyokong untuk beri sokongan pada pasukan selepas ini.
Jika ia diuruskan dengan baik tanpa sebarang penyelewengan, lihat sahaja Kelantan ketika ini yang mana mereka kini berada di puncak Liga Perdana dan boleh dikatakan sudah sebelah kaki akan beraksi di Liga Super pada musim depan.
Sementara itu, pasukan yang mempunyai masalah kewangan teruk sebelum ini iaitu Perak FC juga kini sedang dalam proses pemulihan sejak kelab itu dibeli oleh syarikat telco XOX Berhad.
XOX kini sedang merangka strategi untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Perak seperti satu ketika dahulu.
Pengambil alihan pasukan Perak disambut baik oleh peminat setia The Bos Gaurus dan impaknya sudah pun dapat dilihat apabila peminat mula membanjiri stadium setiap kali pasukan kesayangan mereka turun beraksi.
Syarikat XOX juga sudah mula menjana pendapatan menerusi penjualan jersi Perak yang kini menggunakan jenama Cheetah yang juga merupakan salah satu anak syarikat XOX.
Tidak mustahil XOX juga akan mengikut jejak langkah seperti Zamsaham untuk membuka ruang dan peluang kepada peminat atau mana-mana pihak berminat untuk menjadi pemilik bersama pasukan itu selepas ini.
Dengan penswastaan kelab bola sepak hampir selesai, mereka mungkin boleh mengikut jejak langkah Kelantan dan juga Perak untuk menawarkan syer kepada peminat untuk menjadi pemilik bersama.
Setiap pengurusan kelab juga perlu bijak menjana pendapatan menerusi perniagaan dan tidak mengharapkan wang penaja dan jualan tiket sahaja kerana ‘football is business’.
Diharap dengan penstrukturan Liga Malaysia yang diumumkan oleh Malaysian Football League baru-baru ini akan memberi sinar harapan baru buat bola sepak negara.