Kobe Jae Chong harap Jaami Qureshi ubah keputusan, kembali untuk sarung jersi Harimau Malaya

2,686

Pemain muda kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong terkejut mendengar perkhabaran tentang seorang lagi pemain kacukan, Jaami Qureshi yang dikhabarkan masih belum bersedia untuk melepaskan passport United Kingdom yang dimilikinya.

Keputusan ini akan menyebabkan peluang beliau bersama pasukan kebangsaan semakin tipis kerana seorang pemain tidak boleh memiliki dua passport.  


“Saya tidak mengetahui dan terkejut tentang keputusan yang dibuat oleh pemain yang lain sepeti Jaami untuk tidak mewakili Malaysia.

Saya tidak boleh memberi komen yang lebih tentang itu tetapi bagi saya mewakili negara anda adalah sebuah perkara yang besar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Lebih menarik, konflik di antara ayah Jaami, Perviz Qureshi dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeruhkan lagi keadaan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan proses dokumentasi.

Kali terakhir, Perviz dilihat menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap layanan mengecewakan yang diberikan ketika mereka mengunjungi FAM pada bulan Jun yang lalu.

Situasi ini jelas akan memberi kesan kepada kemungkinan Jaami memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya.

Umur beliau yang masih muda juga menuntut pihak seperti FAM untuk mendapatkan kata putus daripada pihak penjaganya bagi menentukan masa depan pemain tersebut.

Berlainan dengan kisah Kobe yang telah menjangkau umur 21 tahun dan sudah mampu melakukan keputusan di bawah tanggungjawab sendiri.

“Saya rasa bila anda mencecah umur 21 tahun, semuanya keputusan adalah atas tanggungjawab anda.

Anda sudah tidak memerlukan bantuan daripada keluarga anda untuk melakukan sebarang keputusan.”

Meskipun dibesarkan sepenuhnya di luar negara, Kobe tetap dilihat mempunyai keiinginan yang tinggi untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Namun, hasrat beliau masih belum dapat direalisasikan sehingga ke hari ini tatkala proses dokumentasiannya masih belum selesai.

Sebelum ini, beliau pernah disebut-sebut sebagai salah seorang pemain yang akan dipilih oleh bekas jurulatih B-23 negara, Brad Maloney untuk dibawa ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Malangnya, proses yang memakan masa yang panjang menjadikan beliau tidak boleh didaftarkan sebagai salah seorang pemain negara di kejohanan tersebut.

“Agen saya pernah bercakap dengan pihak FAM, saya tahu bekas jurulatih, Brad Maloney ada menyebut nama saya dalam beberapa temu bual.

Tetapi tiada apa yang boleh dibuat selagi urusan dokumentasi tidak dapat diselesaikan.”

Dalam pada itu, pemain tengah AFC Telford United tersebut tetap merasakan bahawa Jaami akan kembali memikiran semula keputusan yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya rasa Jaami sebenarnya bangga dengan darah Malaysia yang dimiliki olehnya, saya harap dia akan kembali untuk mewakili Malaysia.

Mungkin beliau ada sesuatu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu di United Kingdom dan mungkin keputusan itu bukan untuk selamanya.”

Diharap agar sebarang konflik yang berlaku di antara kedua-dua pihak terlibat dapat segera diselesaikan agar kita dapat melihat lambakan pemain berkualiti yang siap sedia menggalas cabaran negara di kejohanan utama dunia selepas ini.