Dua kekalahan berturut-turut bukan perkara baik untuk Selangor FC, kelemahan ‘set pieces’ jadi penghalang terbesar – Michael Feichtenbeiner

788

Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner gagal menyembunyikan kekecewaan selepas pasukan bimbingannya gagal mencapai kemenangan pada aksi menentang pasukan Negeri Sembilan FC.

Kekalahan ini menambah duka di kem Selangor yang sebelum ini dijinakkan oleh pasukan Sri Pahang FC FC 2-0 di Stadium Darul Makmur.


“Dua kekalahan berturut-turut bukan perkara yang diinginkan oleh pasukan Selangor, tetapi ia adalah dua perlawanan yang berbeza.

Kami bermain dengan sangat baik pada separuh masa pertama tetapi gagal menahan asakan daripada set pieces,”

katanya.

Lebih menyedihkan, Selangor telah berjaya mempamerkan aksi menyakinkan untuk mendahului perlawanan 2-0 pada separuh masa pertama.

Namun, segalanya berubah sejurus babak kedua bermula selepas pasukan kendalian Feichtenbeiner dilihat sedikit melonggarkan asakan dan kehilangan rentak pada penghujung perlawanan.

Situasi ini memberi peluang kepada pasukan Negeri Sembilan untuk kembali mengejar sehingga berjaya memenangi perlawanaan tersebut menerusi rembatan jauh yang dilakukan oleh penyerang, Sean Selvaraj.

“Separuh masa kedua kita gagal menjaringkan gol, kami juga tidak dapat mengelak daripada dua set pieces yang menghasilkan gol.

Kami perlu memperbaiki pertahanan selepas ini untuk lebih bersedia dengan situasi seperti ini.”

Skuad Gergasi Merah perlu lebih konsisten pada setiap perlawanan terutamanya pada aksi separuh akhir menentang Terengganu FC pada 6 Ogos ini.

Kelemahan di bahagian pertahanan Selangor perlu segera diperbaiki agar dapat mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan mudah yang membuka peluang kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

“Selepas 45 minit pertama, saya yakin yang kita akan dapat memenangi perlawanan pada hari ini namun segalanya berubah.

Tetapi kami semua adalah pejuang, Kami akan segera bangkit dan memberi fokus kepada perlawanan selepas ini menentang Terengganu.”

Terdahulu, Feichtenbeiner telah menerima tekanan daripada penyokong yang inginkan beliau meninggalkan pasukan selepas aksi yang tidak konsisten pada musim ini.

Feichtenbeiner perlu memastikan pasukan kendaliannya kembali mempamerkan aksi yang lebih bertenaga untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.