Jumlah pengadil perlawanan separuh akhir Piala FA perlu ditambah

1,222

Pada 5 dan 6 Ogos ini akan berlangsungnya perlawanan separuh akhir Piala FA yang mana akan menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Penang FC dan Terengganu FC menentang Selangor FC.

Dari dua perlawanan tersebut, perlawanan membabitkan gergasi Terengganu dan Selangor sudah pasti akan menjadi perlawanan yang cukup menarik dan epik.


Bukan hendak menidakkan kemeriahan perlawanan di antara JDT dan Penang kerana secara realistiknya JDT dilihat akan mampu layak ke perlawanan akhir dengan mudah jika dinilai berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun disebalik keghairahan peminat untuk menyaksikan kedua-dua perlawanan besar ini, terdapat satu kebimbangan yang sedang hangat diperkatakan ketika ini iaitu mengenai mutu pengadilan yang dilihat semakin merosot.

Malah sejak beberapa musim kebelakangan ini kontroversi membabitkan mutu pengadilan semakin menjadi-jadi, malah musim ini juga sudah pelbagai kontroversi sudah berlaku.

Jika tidak mampu guna teknologi seperti VAR (video assistant referee) atau garisan gol, pihak berwajib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) perlu melakukan sesuatu supaya perlawanan epik tidak dicemari dengan mutu pengadilan yang lemah.

Ia bukan sahaja akan merosakkan perlawanan, malah pelbagai masalah lain akan timbul termasuk pergaduhan di dalam dan di luar padang.

Diharapkan pihak FAM dan MFL akan menambah jumlah pengadil dari empat kepada enam pengadil untuk perlawanan separuh akhir dan akhir kelak.

Tambahan pengadil di atas padang akan dapat memberi bantuan kepada pengadil utama sekiranya beliau ragu-ragu dalam membuat keputusan dengan mendapatkan pandangan daripada pengadil-pengadil lain yang ada di atas padang.

Ia secara tidak langsung dapat memastikan tiada ketegangan yang berlaku di antara pemain, barisan kejurulatih dan pengadil itu sendiri.

Jalan terakhir yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah menggunakan pengadil profesional dari luar negara.

Ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana pada perlawanan akhir Piala FA 2019, FAM telah menggunakan pengadil dari Jepun untuk mengadili perlawanan di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam perlawanan tersebut tiga pengadil dari Jepun telah dipilih iaitu: Takuto Okabe dipilih sebagai pengadil utama, Akane Yagi dan Osamu Nomura sebagai pembantu pengadil.

Pengadil tempatan iaitu Razlan Joffri Ali telah diberi tugas sebagai pegawai keempat.

Sepanjang tempoh perlawanan, ketiga-tiga pengadil dari Jepun itu beraksi dengan cukup cemerlang tanpa sebarang keputusan kontroversi, sekaligus membuatkan peminat dapat fokus pada aksi perlawanan berbanding aksi pengadil itu sendiri.

Malah selepas tamat perlawanan, pujian melambung telah diberikan oleh peminat atas kejayaan mereka mengadili perlawanan dengan cukup tegas dan baik sekali.

Mungkin untuk perlawanan separuh akhir nanti tidak sempat jika hendak menggunakan khidmat pengadil luar negara, tetapi jika kualiti pengadil pada perlawanan separuh akhir nanti masih ada kontroversi, maka FAM dan MFL perlu cari jalan untuk bawa pengadil ‘import’ sekali lagi untuk perlawanan akhir Piala FA nanti.