Penyokong desak Penang FC turunkan pemain Piala Presiden pada separuh akhir Piala FA, JDT berdepan laluan mudah

4,515

Kekalahan 3-2 Penang FC di tangan Sarawak United FC dalam saingan Liga Super semalam menyaksikan kelab utara itu mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam liga.

Ia menyaksikan Penang FC kini berada di tangga tercorot liga dengan tujuh mata, di belakang Sri Pahang FC dan PJ City FC yang kedua-duanya mempunyai 11 mata, tetapi kekurangan dua perlawanan.


Selepas perlawanan tersebut, sebilangan penyokong Penang FC berjumpa dengan pihak pengurusan di luar Stadium Bandaraya Pulau Pinang bagi meluahkan ketidakpuasan hati terhadap persembahan pasukan musim ini.

Mereka menghentam para pemain yang tidak bermain dengan sepenuh jiwa dan tidak menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun berada di tangga terakhir liga.

Ada juga yang mendesak kelab supaya menurunkan pemain-pemain skuad Piala Presiden Penang bagi pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat ini.

Sekiranya ini betul-betul berlaku, ia bermakna JDT akan mendapat laluan yang lebih mudah untuk ke peringkat akhir.

Setelah kali terakhir memenangi piala tersebut pada 2016, pencapaian terbaik JDT adalah mara ke peringkat suku akhir sebanyak dua kali.

Selepas berjaya mara ke peringkat separuh akhir, sudah tentu JDT mahu berjuang berhabis-habisan sehingga berjaya mendakap piala itu sekali lagi, seterusnya mengejar gelaran treble buat kali pertama.

Ini adalah merupakan peluang terbaik JDT untuk menyapu bersih semua piala musim ini, di samping Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas menunjukkan mereka mampu bersaing dengan kelab-kelab besar Asia di peringkat kumpulan.

Bagi pemain-pemain muda Penang pula, ia akan menjadi satu pengalaman serta pendedahan yang bagus buat mereka menentang pemain-pemain bintang JDT.

Mereka juga mungkin akan turun dengan lebih bersemangat daripada pemain skuad utama kerana peluang untuk beraksi di stadium terbaik di negara ini, Stadium Sultan Ibrahim jarang sekali muncul.

Jadi sudah tentu ubi-ubi muda akan berusaha sebaik mungkin untuk membuktikan yang mereka layak untuk mewakili skuad utama.