Cari kawan bukan cari lawan, pemain bola sepak perlu ada semangat kesukanan yang baik

2,358

Pasukan Harini FT telah berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan ke-17 di Liga M3 2022 menentang Real Chukai FC.

Kelab yang dibarisi oleh kebanyakan bekas pemain Liga Malaysia ini berpeluang cerah untuk layak ke Liga Super musim depan selepas berjaya mengekalkan kedudukan di tangga pertama Kumpulan B dengan sembilan kemenangan.


Aksi berkualiti daripada pemain berpengalaman seperti penyerang, Nazrin Nawi menjadi antara penyebab utama kejayaan pasukan ini pada saingan liga.

Namun, kecemerlangan ini sedikit terjejas ekoran daripada tindakan tidak wajar yang dilakukan oleh beberapa orang pemain senior di dalam pasukan tersebut menerusi posting di media sosial.

Lebih mendukacitakan, perkara ini telah dilakukan oleh pemain yang pernah beraksi di Liga Super dan mempunyai pengalaman yang luas dalam kancah bola sepak negara.

Pemain ini seharusnya menunjukkan teladan yang sangat baik kepada kesemua pemain-pemain muda yang sama-sama beraksi di Liga M3.

Tambahan pula, salah seorang pemain ini dikenali dengan keputusan beliau mengundurkan diri dari kancah bola sepak atas faktor ingin memberi fokus kepada hal-hal keagamaan sebelum membuat kemunculan semula untuk beraksi di Liga M3.

Semangat kesukanan dan dahagakan kemenangan adalah perkara yang sangat baik untuk kesemua pemain, namun ia tetap perlu dikawal agar tidak melampaui batas sehingga sanggup memberi ancaman yang tidak wajar kepada pemain yang lain.

Pada masa yang sama, pemain berpengalaman seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik dan mampu diteladani oleh pemain di liga amatur bagi memastikan ekosistem bola sepak dihandiri daripada sikap yang negatif dan toksik sejak peringkat awal.

Meskipun berada di kedudukan teratas liga dan mempunyai peluang yang cukup cerah untuk terus layak ke Liga Super musim depan, para pemain ini tidak boleh mendabik dada dan berasa selesa terlebih dahulu.

Ini kerana, pasukan mereka belum secara rasmi layak ke liga utama dan sekiranya layak, belum tentu pemain-pemain ini akan terus dikekalkan dalam senarai skuad utama.

Justeru itu, lebih baik sekiranya kesemua pemain mengelakkan daripada memanjangkan permusuhan sesama sendiri serta memperbaiki hubungan di dalam dan luar padang.