Mampukah Kedah Darul Aman FC & KL City FC kembali dapat rentak di separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC?
Selepas mencipta kejayaan dalam saingan kumpulan Piala AFC baru-baru ini, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan KL City FC gagal meneruskan momentum kecemerlangan masing-masing dalam saingan Liga Super dan juga Piala FA.
Kedah kembali dalam saingan tempatan bertemu dengan pasukan Terengganu FC dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA yang menyaksikan mereka tewas 1-0.
Pasukan Sang Kenari kemudian melayan kunjungan Sarawak United FC dalam saingan Liga Super yang mana mereka agak bergelut sebelum berjaya menang 3-2 di Stadium Darul Aman.
Namun Kedah sekali lagi gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tewas di tangan KL City 2-1 dalam aksi yang cukup menghampakan.
Peminat Sang Kenari terus menderita apabila pasukan kesayangan mereka sekali lagi tewas dan kali ini di tangan Sri Pahang FC 2-0 pada hari Isnin.
Dalam pada itu, juara Piala Malaysia 2021, KL City juga bergelut untuk mengekalkan momentum saingan Piala AFC dalam saingan tempatan apabila mereka tumpas 1-0 kepada musuh tradisi Selangor dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA.
KL City kemudian bertemu dengan PJ City FC dalam saingan Liga Super yang menyaksikan mereka hanya mampu bawa pulang satu mata selepas seri tanpa jaringan.
Misi untuk membalas dendam atas kekalahan pada perlawanan Piala FA tidak tercapai apabila mereka hanya sekadar seri 1-1 dengan Selangor.
Skuad kendalian Bojan Hodak akhirnya berjaya meraih kemenangan ketika menentang Kedah 2-1 di tempat sendiri.
Kecemerlangan The City Boys akhirnya direntap oleh gergasi selatan Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam apabila dibelasah 5-0.
Ramai yang tertanya-tanya apa sudah jadi dengan kedua-dua pasukan ini terutamanya pasukan Kedah yang sangat konsisten sejak beberapa musim lalu, namun musim ini aksi mereka cukup menghampakan sehingga peminat mula mendesak pihak pengurusan mengambil tindakan segera termasuk menyingkirkan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak.
Bagaimanapun agak tidak adil untuk menyalahkan Aidil kerana beliau terpaksa membentuk semula skuad selepas ramai pemain musim lalu meninggalkan pasukan.
Malah dengan bajet yang kecil, beliau terpaksa menggunakan ramai pemain muda yang kurang pengalaman yang menjadi penyumbang kepada aksi tidak konsisten pasukan terutamanya di bahagian pertahanan.
Untuk Kedah, musim ini mereka sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Piala FA dan Liga Super kerana tidak mampu lagi menjadi pencabar utama.
Harapan yang tinggal kini adalah Piala AFC dan juga Piala Malaysia yang mana berdasarkan situasi semasa ia tampak sukar buat skuad Hijau Kuning itu.
Sementara itu, untuk KL City pula mereka juga bergelut sejak awal musim lalu dengan tonggak utama meninggalkan pasukan termasuk mengalami kecederaan.
Prestasi KL City juga tidak konsisten apabila mereka kadang-kala sangat berbahaya, tetapi kadang-kala peminat boleh ‘garu kepala’ lihat corak permainan mereka.
Musim ini KL City sekali lagi akan cuba menghabiskan musim di kedudukan pertengahan liga dan mungkin mereka mampu mengejut ramai dan mengulangi kejayaan musim lalu menjuarai Piala Malaysia.
Disebaliknya kekecewaan ramai, namun peminat kedua-dua pasukan masih menaruh harapan untuk Kedah dan KL City untuk capai kejayaan di perlawanan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC nanti.
Kedah akan menentang PSM Makassar di Indonesia pada 9 Ogos, manakala KL City pula akan menentang Viettel FC di Vietnam pada 10 Ogos.
Jika kedua-dua pasukan berjaya menumpaskan lawan masing-masing, maka perlawanan akhir Zon ASEAN akan menyaksikan dua wakil Malaysia ini akan berentap untuk mara ke peringkat seterusnya.
Jadi persoalannya kini, mampukah kedua-dua pasukan ini lakukan kejutan atau magik di Piala AFC nanti? Sama-sama kita tunggu.