Kalendar kejohanan AFC berubah musim depan, MFL harus pastikan perjalanan liga tidak terganggu

886

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akhirnya mengumumkan kalendar baru bagi kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala AFC yang akan bermula musim depan selepas mengumumkan mereka akan melakukan pindaan terhadap kalendar kedua-dua kejohanan itu Februari lalu.

Berdasarkan perubahan baru tersebut, ia akan menyerupai kalendar kejohanan di Eropah seperti Liga Juara-Juara Eropah di mana sepak mula biasanya bermula pada bulan Ogos hingga Mei.


Bermula musim depan, peringkat kumpulan ACL dan Piala AFC akan bermula pada September 2023 dan perlawanan akhir akan berlangsung pada Mei 2024.

Pada musim ini, peringkat kumpulan ACL berlangsung pada April 2022 dan perlawanan akhir pada Februari 2023 manakala Piala AFC pula berlangsung pada Mei hingga Oktober 2022.

Dengan perubahan ini, sudah tentu ia akan memberi kesan besar terhadap pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang bertanding dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

Ketika ini, kalendar Liga M berlangsung pada Mac hingga September dan selepas itu kejohanan Piala Malaysia pula akan menyusul.

Dengan perbezaan ketara antara kalendar Liga Malaysia dan kedua-dua kejohanan AFC itu, ia boleh mengganggu perjalanan liga terutama bagi pasukan-pasukan yang terlibat dalam kejohanan tersebut.

Justeru Malaysian Football League (MFL) harus mengambil kira jadual baru kejohanan AFC apabila menyusun jadual bagi musim depan.

Lebih-lebih lagi apabila penstukturan Liga M akan dilaksanakan musim depan dengan 18 pasukan bertanding dalam Liga Super, jadual akan menjadi jauh lebih padat.

Selain itu, kejohanan antarabangsa seperti Piala Asia juga harus diambil kira memandangkan kalendar Liga M ketika ini bertembung dengan kejohanan itu.

Pada musim ini saja sudah beberap kali jadual terpaksa dipinda oleh MFL menyebabkan perjalanan liga terganggu dan ada pasukan yang ketinggalan dari segi jumlah perlawanan berbanding pasukan lain.

Mungkin MFL harus mempertimbangkan untuk merombak kalendar Liga M mengikut perubahan yang dilakukan pihak AFC bagi memudahkan lagi koordinasi dan tidak memberi kesan terhadap kelab yang bertanding.

Mungkin bukan dalam masa terdekat, tetapi ia harus dilakukan dengan segera bagi mengelakkan masalah mengenai jadual perlawanan timbul di kemudian hari.

Berdasarkan ranking AFC ketika ini, pasukan Malaysia mungkin akan mempunyai empat pasukan di ACL bermula musim 2024/25, jadi MFL harus mempertimbangkan perkara itu dari sekarang lagi.

Namun terdapat beberapa perkara yang harus dipandang serius sekiranya kalendar Liga M mahu diubah.

Faktor penting pastinya dari segi kontrak pemain kerana ketika ini majoriti pemain Liga M mempunyai kontrak setahun yang tamat pada November.

Selain itu, cuaca juga memainkan peranan besar kerana kawasan Pantai Timur mengalami musim monsun pada hujung tahun hingga Januari atau Februari jadi pasukan-pasukan yang berada di kawasan itu akan menghadapi kesukaran untuk bermain.

Kejohanan Piala AFF yang sering diadakan pada hujung tahun juga harus diambil kira kerana kebanyakan kelab sudah tentu tidak mahu melepaskan pemain mereka ketika liga masih berlangsung.

Yang pasti, sekiranya kalendar Liga Super tidak selari dengan perubahan yang dilakukan oleh AFC, ia akan memberi kesan yang besar terhadap perjalanan liga terutama buat pasukan-pasukan yang bertanding dalam kedua-dua kejohanan AFC.

Justeru, MFL harus segera berbincang mengenai kalendar Liga M pada musim depan dan mungkin turut mendapatkan pandangan serta panduan daripada pihak AFC bagi memastikan perjalanan liga lebih tersusun.