Warga Jepun naik motosikal ke SSI untuk saksikan aksi JDT, jadi contoh buat penyokong tempatan

5,073

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah KL City FC 5-0 pastinya memberi mimpi indah buat penyokong-penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim.

Di sebalik ribuan penyokong JDT yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka itu, terdapat seorang warga Jepun yang turut terhibur menyaksikan persembahan mantap Harimau Selatan.


Asahi Ueda, seorang blogger yang menggelarkan dirinya sebagai ‘footraveler’ (football traveller), turut terpesona dengan suasana serta aksi JDT semalam.

Selain bola sepak, beliau juga sering berkunjung menyaksikan sukan-sukan lain seperti besbol, gusti, bola keranjang dan lain-lain di seluruh dunia.

Menurutnya, beliau seronok melihat perlawanan itu dan menyifatkan JDT sebagai sebuah kelab yang  mempunyai kesungguhan dan cita-cita tinggi.

Suasana itu juga mengingatkan beliau pada November 1997 ketika Jepun menewaskan Iran pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 1998 di Stadium Larkin untuk layak ke kejohanan itu.

Ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana jarang sekali terdapat warga asing yang berminat untuk menonton perlawanan Liga Malaysia.

Apa yang lebih menarik adalah beliau sanggup menempuh perjalanan yang sukar untuk ke stadium bagi menonton perlawanan itu.

Menceritakan pengalamannya, Ueda berkata, beliau pada mulanya menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke perlawanan tersebut tetapi tersangkut di tengah jalan akibat trafik sesak.

Disebabkan bimbang tidak sempat tiba ke stadium sebelum perlawanan bermula, beliau mencadangkan kepada pemandu tersebut untuk pergi ke rumahnya dan mengambil motosikalnya untuk ke stadium.

Kesungguhan beliau boleh dijadikan satu contoh yang baik buat penyokong-penyokong di negara ini.

Walaupun negara sudah masuk ke fasa endemik dan kehadiran penyokong di stadium sudah tidak lagi dihadkan, penyokong nampaknya masih tidak berminat untuk ke stadium.

Ini juga menunjukkan ‘aura’ yang dimiliki JDT dan Stadium Sultan Ismail sehingga mampu menarik warga asing untuk hadir ke stadium memberi sokongan.