Sertai kelab Como 1907 di Serie B, Cesc Fabregas bakal dilatih Kurniawan Dwi Yulianto
Selepas kontraknya bersama AS Monaco tamat, bintang Sepanyol, Cesc Fabregas melebarkan sayapnya ke kelab Itali, Como 1907 yang beraksi di Serie B.
Beliau bakal menjadi seorang lagi nama besar di Serie B di samping bekas penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon.
Kehadiran pemain berusia 35 tahun itu ternyata satu perkara yang besar buat kelab itu dan ia dapat dilihat daripada sambutan penyokong yang hadir ketika upacara memperkenalkannya.
Bagi peminat bola sepak Indonesia, mereka mungkin sudah mula mengikuti Como 1907 sejak beberapa minggu lalu selepas legenda mereka Kurniawan Dwi Yulianto mengembangkan karier kejurulatihan beliau di kelab itu.
Selepas hampir setahun meninggalkan Sabah FC, Kurniawan akhirnya melakukan ‘comeback’ dalam bidang kejurulatihan di Como 1907.
Ini bermakna, beliau akan diberi penghormatan untuk melatih pemenang Piala Dunia 2010 itu kelak.
Bagi seorang jurulatih yang berasal dari Asia Tenggara, peluang ini jarang sekali muncul jadi ia adalah satu kebanggaan buat dirinya.
Kurniawan juga boleh dianggap bertuah kerana beliau diberi kepercayaan oleh pemilik Como 1907 iaitu sebuah syarikat Indonesia, PT Djarum yang dimiliki oleh ahli perniagaan tempatan, Oei Wie Gwan.
Jika dilihat dari sudut positif, ini menunjukkan Wie Gwan membuka peluang buat warga Indonesia untuk menimba ilmu di Eropah bagi meningkatkan lagi tahap jurulatih tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Ekseutif (CEO) Como 1907, Dennis Wise berkata perpindahan Fabregas ke kelab itu bukan hanya sebagai pemain tetapi juga sebagai seorang pemegang saham.
Secara kebetulan, pertemuan Wise dengan Fabregas boleh dianggap sebagai ‘reunion‘ bekas pemain Chelsea kerana kedua-dua pemain itu pernah beraksi untuk kelab tersebut.
Musim lalu, Como 1907 menamatkan saingan Serie B di tangga ke-13.
Mungkin dengan pengalaman yang dibawa Fabregas ke kelab itu, serta kehadiran Kurniawan sebagai pembantu jurulatih mereka mampu memperbaiki kedudukan musim ini dan mungkin layak ke Serie A.
Sekiranya ia berlaku, ia bakal menjadi kebanggaan buat Kurniawan serta rakyat Indonesia kerana mempunyai ‘wakil’ di Serie A.