Perlu ada tempat khas untuk pemain bertemu media, menarik jika perkara ini dibuat di Malaysia – Adam Carruthers
Personaliti terkenal Liga Perdana Inggeris (EPL), Adam Carruthers berpendapat bahawa Liga Malaysia perlu menyediakan ruang khas untuk pemain diwawancara oleh pihak media.
Kesemua kelab EPL diwajibkan untuk menghantar minimum dua orang pemain selaku wakil pasukan untuk ditemuramah selepas perlawanan nyata menambahkan lagi kemeriahan dan penarikan Liga terbesar dunia tersebut.
“Di EPL, ada tempat khas yang disediakan untuk pemain memberi komen selepas perlawanan, ia merupakan perkara yang baik jika dapat dilakukan di Malaysia.
Pemain sendiri yang datang ke tempat tersebut secara sukarela untuk menjawab persoalan bagi pihak pasukan mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada masa yang sama, untuk Adam, kesemua pasukan di Malaysia juga perlu mengambil tanggungjawab untuk mencari alternatif dalam mempersiapkan para pemain untuk berhadapan dengan tekanan yang diberikan oleh pihak media.
Secara realiti, sebenarnya kebanyakan pemain pasukan Liga M kerap kali mengelak diri daripada memberi komen kepada rakan media selepas perlawanan.
Perkara ini dilihat sebagai tindakan yang tidak profesional untuk dilakukan oleh mana-mana kelab yang bersaing di liga utama negara kerana tanpa liputan, kerjasama dan bantuan media, sukan apa pun tidak akan pergi ke mana-mana.
“Kesemua pemain di England diberi kursus untuk bercakap dan memberi komen di hadapan media.
Walaupun pada usia muda, kesemua pemain dilatih cara berhadapan dengan pihak media.” kata Adam.
Pasukan Liga Malaysia boleh mengambil contoh ini sebagai teladan yang baik dalam usaha menghasilkan lebih ramai pemain yang mesra media dan mudah didekati.
Ini akan memudahkan kerja pihak media serta memberi kelebihan untuk peminat merasa lebih dekat dengan para pemain dari kelab kesayangan mereka.
Kekerapan bercakap di hadapan media akan membantu para pemain untuk menyusun tutur kata dengan lebih baik dan jelas di masa depan.
Meskipun terlihat kecil, hal ini akan menjadi salah satu faktor penting yang mampu menjulang kualiti liga Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi kelak terutamanya dengan penambahan pasukan Liga Super dari musim 2023.