Tak salah untuk Kobe Chong meneruskan karier di liga bawahan England – Adam Carruthers

1,542

Hos terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL), Adam Carruthers mengakui potensi yang dimiliki oleh pemain tengah muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Nathaniel Wan Shio Hong yang pernah beraksi bersama pasukan Wolverhampton Wanderers cukup padu dan mantap.

Adam yang kerap bertugas di England, berpeluang melihat aksi Hong Wan dalam salah satu sesi latihan skuad B-21 Wolves.


“Hong Wan merupakan pemain yang sangat bagus, jurulatih pasukan B-23 Wolverhampton turut mengakui perkara tersebut.

Kerana itu, perpindahan beliau ke JDT boleh dikatakan mengejutkan, tetapi jika itu yang terbaik, saya doakan beliau akan terus berjaya di masa hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sepanjang bermain di England, pemain kelahiran England tersebut sering diturunkan oleh jurulatih B-23 Wolverhampton, Jamie Collins bagi menghadapi saingan Liga Perdana 2.

Kini, Hong Wan turut menjadi antara pilihan utama skuad JDT dalam mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Sejak didaftar pada awal musim, Hong Wan telah diturunkan sebanyak 15 kali dan turut membantu Harimau Selatan untuk melayakkan diri buat kali pertama ke peringkat kalah mati saingan AFC Champions League (ACL) musim ini.

Dalam pada itu, Adam turut merasakan pemain kacukan Malaysia yang lain seperti Richard Chin Li Hua turut memiliki bakat yang besar untuk menyerlah di masa hadapan.

“Richard bermain untuk Charlton Athletic di League One, dia sudah mula bermain untuk beberapa perlawanan.  

Kita akan lihat perkembangan pemain ini di masa depan.”

Richard merupakan pemain muda kacukan Malaysia-England yang kini beraksi bersama pasukan B-23 Charlton Athletic.

Pemain berusia 19 tahun itu telah diturunkan pada aksi pra-musim di antara skuad utama Charlton menentang Swansea City baru-baru ini.

Charlton tewas pada perlawanan tersebut dengan jaringan 2-1.

Pada masa yang sama, Adam tidak merasakan pilihan seorang lagi pemain kacukan, Kobe Jae Chong yang pernah dikaitkan dengan JDT dan Sri Pahang FC, untuk beraksi bersama kelab divisyen keenam England, AFC Telford United sebagai tindakan yang salah.

Ini kerana, liga bawahan di negara tersebut telah berjaya menghasilkan beberapa orang pemain yang semakin mendapat tempat di peringkat yang lebih tinggi.

Beliau hanya berharap agar pemain-pemain muda berdarah Malaysia ini dapat melakukan keputusan berdasarkan pertimbangan yang baik dan mampu memberikan kelebihan kepada perkembangan karier bola sepak mereka.

“Liga bawahan di England memerlukan performance dari aspek fizikal, ramai pemain pasukan kebangsaan Malaysia juga datang dari liga bawah seperti Junior Eldstal (JDT) dan Darren Lok (Petaling Jaya City FC).

Tetapi sekiranya ada tawaran yang lebih baik di sini (Liga Malaysia), pemain perlu memutuskan apa yang terbaik untuk mereka.”