Menang Piala AFF B-19 masih belum jamin tempat untuk kelayakan Piala Asia B-20 – Hassan Sazali

197

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19, Hassan Sazali memberitahu tempat pemain yang berjaya menjulang Piala AFF B-19 baru-baru ini masih belum terjamin untuk kelayakan Piala Asia B-20 yang akan berlangsung pada September depan.

Hassan berkata demikian kerana beliau mahu memastikan setiap pemain sentiasa berada dalam prestasi terbaik dan siap sedia untuk dipanggil nanti.


Bagi memastikan beliau mempunyai pilihan pemain yang banyak, Hassan telah membawa hampir 80 peratus pemain berbeza bagi menghadapi kejohanan Youth International U-19 Football Tournament 2022 anjuran Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF) bermula 5 hingga 11 Ogos ini di Binh Duong, Vietnam.

“Kumpulan pemain yang saya panggil untuk kejohanan kali ini kebanyakkannya tidak tersenarai dalam skuad Piala AFF B-19 baru-baru ini dengan tujuan untuk melihat pool players yang lebih ramai dan juga untuk saya kenal pasti pemain terbaik bagi mempersiapkan pasukan ke kelayakan Piala Asia B-20 pada September depan.

Dengan ini bermakna tempat pemain yang pernah beraksi pada Piala AFF sebelum ini masih belum terjamin kerana mereka perlu rebut jadi yang terbaik jika mahu terpilih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang juga merupakan ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, mengakui tempoh latihan singkat iaitu dua hari sahaja sememangnya sukar untuk pemain mendapatkan keserasian, tetapi beliau percaya dengan kemampuan anak buahnya itu.

Ini kerana Hassan mendedahkan pemilihan pemain dilakukan berdasarkan jumlah minit permainan pemain dalam saingan liga tempatan.

“Memang sukar untuk pemain dapat keserasian dalam tempoh yang singkat, tetapi pemilihan pemain kali ini berdasarkan minit permainan mereka dalam saingan liga tempatan terutamanya dalam Liga Premier dan Piala Presiden.

Jadi dalam latihan akan datang ini saya akan cuba pastikan keserasian antara pemain itu wujud dari satu perlawanan ke satu perlawanan.”

Dalam pada itu, Hassan tidak meletakkan sasaran pada kejohanan jemputan ini, namun berharap pemain yang dibawa ini mampu mempamerkan aski yang terbaik dan jika menang ia adalah bonus.

Beliau membawa sebanyak 20 pemain ke Vietnam yang mana empat daripadanya adalah pemain dari skuad Piala AFF B-19 iaitu Ubaidullah Shamsul, Izrin Ibrahim, Danish Irfan dan Syahmi Adib.

Selain Malaysia, kejohanan tersebut turut disertai Vietnam sebagai tuan rumah, Thailand dan juga Myanmar.

Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Thailand pada 5 Ogos, Vietnam pada 7 Ogos dan Myanmar pada 9 Ogos.