Abu Khalil dedah sudah terima beberapa tawaran dari pasukan Liga Malaysia
Pemain tengah skuad B-19 negara, Muhammad Abu Khalil mendedahkan bahawa beliau sudah menerima beberapa tawaran dari pasukan Liga Malaysia, namun masih belum buat sebarang keputusan lagi ketika ini.
Ini kerana Abu Khalil memasang impian untuk bermain di luar negara kerana sebelum ini beliau bersama dua lagi pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) telah terpilih ke Perancis dan Luxembourg untuk menjalani sesi percubaan bersama dua buah kelab iaitu FC Annecy dan Racing FC.
“Jika kelab yang saya pergi trial itu beri tawaran sudah pasti saya tak akan fikir panjang dan terima tawaran tersebut. Buat masa ini saya masih menunggu jawapan daripada kelab sana.
Saya juga ada dapat banyak tawaran dari pasukan di Liga Malaysia, tapi tengok lah macam mana nanti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Abu Khalil turut berkongsi pengalamannya ketika menjalani latihan di Eropah yang mana beliau berkata terdapat perbezaan yang cukup ketara dari segi corak permainan dan juga pemikiran pemain yang matang.
“Di sana intensiti permainan sangat tinggi dan setiap pemain mempunyai pemikiran yang cukup matang. Banyak perkara yang saya belajar di sana dan saya akan terapkan bersama skuad B-19 ini.”
Beliau yang sebelum ini tidak terpilih ke kejohanan Piala AFF B-19 baru-baru ini bertekad mahu menjadikan Youth International U-19 Football Tournament 2022 sebagai pentas untuknya mempamerkan aksi cemerlang supaya dapat menarik perhatian ketua jurulatih Hassan Sazali.
Ini kerana Hassan tidak akan mengekalkan seratus peratus pemain dalam skuad B-19 yang berjaya menjulang trofi Piala AFF baru-baru ini, sebaliknya mahu pilih pemain terbaik yang akan dibawa ke kelayakan Piala Asia B-20 pada September depan.
Dalam senarai 20 pemain yang dibawa ke Binh Duong, Vietnam kali ini, hanya empat pemain sahaja dari skuad Piala AFF dikekalkan untuk kejohanan jemputan dari Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF).
Skuad Harimau Muda akan membuka tirai kejohanan dengan menentang Thailand pada 5 Ogos, Vietnam pada 7 Ogos dan Myanmar pada 9 Ogos.