Kerap harumkan nama negara, tetapi nama Siti Zalina hanya mendapat tumpuan ketika kejohanan besar

1,518

Kejayaan Siti Zalina Ahmad merangkul pingat gangsa dalam sukan boling padang di Sukan Komanwel baru-baru ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi atlet berusia 43 tahun itu.

Beliau menewaskan wakil Norfolk Island, Shae Wilson pada aksi penentuan pingat gangsa acara perseorangan wanita, menandakan beliau kembali meraih meraih pingat dalam acara indvidu selepas 16 tahun pada Komanwel 2006 di Melbourne.


Walaubagaimanapun, aksi beliau masih ditagih oleh warga Malaysia untuk menyumbang pingat dalam acara berpasangan bersama Emma Firyana Saroji.

Ini merupakan Sukan Komanwel ketujuhnya sejak mula menyertai kejohanan itu pada 1998.

Beliau yang dikenali sebagai ‘ratu boling padang negara’ itu sudah boleh dianggap atlet legenda kerana banyak kali pernah mengharumkan nama negara.

Namun, namanya jarang sekali muncul sama ada di kaca televisyen atau di media sosial dan hanya mendapat liputan ketika kejohanan-kejohanan besar seperti Sukan Komanwel.

Mungkin ramai yang tidak tahu selain daripada Sukan Komanwel, Siti Zalina juga adalah nama yang sering menyumbang pingat buat negara dalam acara Kejohanan Boling Asia Pasifik dan juga pernah menyumbang pingat dalam Kejohanan Dunia.

Beliau pernah menyumbang tiga emas, dua perak dan enam gangsa dalam Kejohanan Boling Asia Pasifik dan satu gangsa dalam Kejohanan Dunia.

Selain itu, beliau juga pernah menyumbang tiga pingat emas dalam Sukan SEA.

Dalam satu temubual bersama Harimau Malaya sebelum ini, beliau juga mengakui bahawa boling padang tidak mempunyai liputan yang meluas di negara ini dan bukanlah sukan tumpuan rakyat Malaysia.

Beliau juga turut memberikan nasihat ‘pedas’ kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai boling padang bahawa jika ingin menjadikan sukan itu sebagai kerjaya, populariti harus dilupakan.

Dengan kejayaan dan konsistensi yang ditunjukkan olehnya, mungkin inilah masanya rakyat Malaysia mula memberi perhatian terhadap sukan boling padang.

Jika lebih banyak liputan mengenai sukan ini diberikan sama ada di media rasmi atau media sosial, sudah tentu lebih ramai lagi yang mendapat pendedahan dan berminat untuk berkecimpung dalam boling padang.

Menjengah usia 43 pada tahun ini, persembahan Siti Zalina masih lagi baik dan tidak mustahil mampu terus mewakili Malaysia pada edisi akan datang.

Sama ada beliau akan terus lagi bermain atau mahu bersara selepas ini, diharapkan beliau mampu menurunkan ilmu kepada pemain-pemain muda untuk meneruskan legasi beliau dalam boling padang.