Di mana Dion Cools sekarang ini?

11,230

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Dion Cools merupakan antara pemain yang paling konsisten sepanjang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang mana menyaksikan beliau telah berjaya bantu skuad Harimau Malaya layak secara merit selepas lebih 40 tahun.

Kejayaan itu telah melonjakkan nama pemain kacukan Belgium-Malaysia ini, namun selepas beberapa bulan yang lalu, nama Cools sudah tidak lagi kedengaran.


Sehingga kini tiada perkembangan terbaru mengenai pemain itu yang telah tamat tempoh pinjaman di Zulte Waregem dan kembali ke kelab asalnya, FC Midtjylland dari Denmark.

Walaupun sudah kembali ke kelabnya, namun namanya tidak tersenarai dalam senarai pemain yang beraksi dalam kelayakan UEFA Champions League (UCL) baru-baru ini.

Adakah namanya tidak disenaraikan berpunca dari pengumuman Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris yang sebelum ini memaklumkan bahawa Cools akan bermain bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.

Namun penyokong Harimau Selatan belum boleh gembira lagi kerana Cools berkemungkinan besar hanya dapat turun beraksi bersama JDT pada pertengahan musim iaitu selepas jendela perpindahan kedua kerana berdasarkan maklumatnya di transfermarkt, beliau masih mempunyai kontrak bersama Midtjylland sehingga Jun 2023.

Bagaimanapun, jika Cools dan kelabnya dapat mencapai kata sepakat untuk melepaskan pemain itu atau menamatkan kontraknya lebih awal, bermakna peluangnya untuk beraksi bersama JDT dengan lebih awal boleh jadi kenyataan.

Letak soal kelab mana yang akan beliau main selepas ini kerana persoalan utama di sini adalah di manakah Cools ketika ini? Adakah beliau sedang bercuti atau masih berlatih bersama kelabnya?

Ini kerana Cools mempunyai tugasan negara bulan depan bersama skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang telah dirancang oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon.

Jika beliau tidak mempunyai match fitness, bagaimana beliau hendak memastikan dirinya dapat beri aksi yang konsisten pada perlawanan persahabatan nanti?

Tambahan pula, Pan-gon bukan sahaja mengatur satu perlawanan persahabatan, tetapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa yang mana satu lagi perlawanan dijadualkan pada bulan November.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga memberitahu skuad negara akan beraksi dalam kejohanan King’s Cup Thailand 2022.

Skuad negara perlu terus mengekalkan momentum terbaik mereka kemudian akan menghadapi saingan Piala AFF pula yang dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ini.

Oleh itu, setiap pemain termasuk Cools sendiri perlu memastikan berada dalam keadaan prestasi terbaik apabila dipanggil kelak.

Rata-rata peminat meletak harapan yang cukup tinggi kepada Cools dan berharap beliau akan terus mempamerkan aksi berkualiti seperti yang dilakukan pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Mei lalu.