Peminat mahu Tengku Arif Bendahara dapat kembalikan kegemilangan Sri Pahang FC

7,527

Selepas kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak diambil alih oleh kerabat diraja iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris, ramai peminat bola sepak dari pasukan lain turut mengharapkan perkara sama akan berlaku pada pasukan mereka.

Selangor FC menjadi pasukan kedua yang dimiliki oleh kerabat diraja dari negeri itu iaitu Raja Muda Selangor (RMS), Tunku Amir Shah yang mana menyaksikan pasukan itu kini dalam proses ‘membangun’ semula.


Dengan dua figura muda dari kerabat diraja terlibat secara terus dalam dunia bola sepak, ia telah memberi nafas baru kepada Liga Malaysia.

Kini peminat Sri Pahang juga sudah mula menyuarakan hasrat mereka untuk melihat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah untuk mengambil alih pasukan itu yang sedang berada dalam situasi terumbang-ambing.

Walaupun Sri Pahang sebenarnya dimiliki oleh kerabat diraja juga iaitu Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Mustafi Billah, namun peminat mengharapkan Tengku Ari Bendara untuk menyambung legasi tersebut dengan mengambil alih bagi memberi nafas baru kepada pasukan yang pernah digeruni satu ketika dahulu.

Baginda yang merupakan anakanda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai ‘darah bola sepak’ kerana Al-Sultan Abdullah mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan bola sepak.

Ia dibuktikan dengan pembabitkan baginda dalam dunia bola sepak apabila baginda pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama tiga tahun dari 2014 hingga 2017.

Baginda juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) antaranya Timbalan Presiden konfederasi tersebut serta beberapa jawatan lain seperti Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia AFC edisi 2015 dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan AFC.

Al-Sultan Abdullah juga sangat menghargai jasa-jasa pemain bola sepak apabila baru-baru ini baginda telah mengurniakan darjah kebesaran kepada empat bekas lagenda Pahang iaitu Dollah Salleh yang kini Ketua Jurulatih Interim Pahang, Zainal Abidin Hassan (Ketua Jurulatih Penang FC), Ahmad Yusoff (Penolong Jurulatih Sri Pahang Football Club) dan Ahmad Yunus Mohd Alif.

Ia akan menjadi satu kelebihan buat Tengku Arif Bendahara sekiranya baginda ambil keputusan untuk mengendalikan pasukan Sri Pahang.

Jika ia menjadi kenyataan Sri Pahang akan diterajui oleh Tengku Arif Bendara, besar kemungkinan ia akan dijenamakan semula dengan nama Sri dihapuskan dan menggunakan nama Pahang FC kerana sebelum ini ia pernah dipersoal oleh peminat.

Bagaimanapun bukan nama pasukan yang peminat kini peduli, sebaliknya prestasi pasukan dan pengurusan untuk memastikan Sri Pahang kembali menjadi gergasi Pantai Timur dan memajukan bola sepak Pahang ke tahap tertinggi.