Masa depan pasukan futsal Malaysia masih jadi tanda tanya, Vietnam bawa bekas jurulatih juara dunia Argentina kemudi pasukan

668

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) terus bergerak ke hadapan dalam usaha membangunkan sukan futsal.

Baru-baru ini, VFF telah membawa masuk bekas jurulatih pasukan Argentina, Diego Giustozzi sebagai pengendali pasukan kebangsaan yang baru.


Ini bagi memperkuatkan pasukan Vietnam menjelang aksi Futsal Piala Asia yang akan bermula pada 27 September ini.

Vietnam telah diundi di dalam Kumpulan D bersama pasukan Korea Selatan, Saudi Arabia dan Jepun.

Kehebatan Giustozzi di arena antarabangsa tidak dapat disangkal selepas beliau berjaya membimbing pasukan Argentina menjadi juara dunia pada tahun 2016.

Namun, berbeza dengan keadaan di Malaysia apabila sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hala tuju skuad futsal kebangsaan.

Nasib ketua jurulatih negara, Chiew Chun Yong juga tidak diketahui selepas beliau gagal membawa sebarang kejayaan pada beberapa kejohanan sebelum ini.

Aksi hambar skuad negara di kejohanan Piala AFF April lalu ditambah kegagalan melepasi saingan kumpulan di Sukan SEA Hanoi menggambarkan kegagalan jurulatih ini dalam membimbing pasukan.

Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak FAM bagi memastikan skuad negara tidak lagi menjadi pasukan belasahan pada kejohanan yang akan datang.

Perubahan jurulatih mungkin menjadi antara solusi terbaik untuk dilakukan buat masa ini.

Selain Vietnam, Thailand dan Indonesia telah mula menggunakan khidmat pengendali dari luar negara untuk membantu meningkatkan kualiti pasukan negara mereka.

Pendekatan ini boleh dicontohi oleh FAM bagi memastikan negara tidak terus ketinggalan jauh dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Indonesia semakin mempamer kebangkitan luar biasa di bawah kendalian ketua jurulatih dari Iran, Mohammad Hashemzadeh selepas berjaya menjadi naib juara pada saingan Piala AFF 2022 serta merangkul pingat perak di temasya Sukan SEA Hanoi baru-baru ini.

Antara calon yang dilihat sangat sesuai untuk menggalas tanggungjawab ketua jurulatih Malaysia adalah penolong jurulatih Selangor MAC, Marcelo Serpa yang mempunyai pengalaman luas.

Terdahulu, Marcelo pernah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Futsal oleh FAM pada tahun 2012.

Ini menjadikan beliau antara jurulatih luar negara yang memahami corak permainan pemain-pemain di Malaysia.

Hal ini dilihat akan memudahkan beliau untuk segera mendapatkan keserasian bersama pemain-pemain negara.

Tambahan pula, taktikal yang diterapkan oleh beliau kepada Selangor MAC pada aksi Piala Futsal Malaysia 2022 berjaya membawa pasukan tersebut menjadi juara selepas menewaskan Pahang Rangers di perlawanan akhir.

Selain itu, pengalaman pengendali berusia 51 tahun tersebut bersama beberapa buah kelab Perancis seperti Toulouse Metropole dan Paris ACASA sebelum ini dapat membantu beliau untuk melakukan sebuah revolusi besar kepada pasukan futsal kebangsaan.

Selain Marcelo, ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas turut mempunyai kredibiliti yang sesuai untuk diangkat sebagai jurulatih skuad negara.

Jurulatih yang berasal dari Sepanyol itu dilihat mempunyai pendekatan permainan yang menarik dan memberi kesan yang besar kepada kejayaan skuad Pahang Rangers untuk beberapa musim kebelakangan ini.

Kepakaran beliau dalam memanfaatkan taktikal power play mampu menjadi senjata yang boleh digunapakai oleh skuad kebangsaan.

Casas berjaya membantu pasukan bimbingan beliau menjadi naib juara pada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia musim ini di belakang Selangor MAC.

FAM perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan skuad negara dapat mengembalikan rentak kecemerlangan untuk berada sebaris dengan pasukan utama yang lain di Asia Tenggara.