Kelab bola sepak ‘nothing’ tanpa penyokong – Azraai Khor Abdullah

1,055

Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Azraai Khor Abdullah berkata sesebuah kelab bola sepak perlu bersikap terbuka dan telus dalam memastikan penyokong dapat mengetahui apa yang sedang berlaku dalam pasukan kesayangan mereka.

Azraai berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai komennya dalam satu posting Fan Page Kedah dengan mengatakan: ‘Pengurusan seolah-olah rahsiakan keadaan, kita tak tahu apa yang berlaku.’


Susulan komen tersebut beliau telah dihubungi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali sendiri yang mana kedua-dua mereka kemudian bertukar-tukar pandangan.

“Ekoran komen saya itu, esok tu dalam pukul 10 pagi CEO Kedah, Khamal Idris ada menghubungi saya bertanya ‘kenapa coach komen macam tu? Apa rahsia?’. Saya pun cakap ‘saya tak tuduh tapi saya cakap seolah-olah, tapi memandangkan dah call jadi boleh lah cerita apa yang berlaku’.

Di akhir perbualan saya ada nasihat supaya pihak pengurusan adakan dialog dengan peminat kerana saya cakap kelab bola sepak nothing tanpa penyokong,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Azraai lagi, pihak pengurusan perlu membuat pertemuan dengan penyokong secara forum bagi menjelaskan atau menceritakan apa yang sedang berlaku dalam pasukan, supaya penyokong tahu dan tidak membuat spekulasi berikutan tiada perkembangan pasukan dimaklumkan.

“Ketika saya bekerja dengan Allahyarham Datuk Ahmad Basri, beliau pernah berkata ‘Tiada rahsia diantara kita dengan penyokong kita’. TMJ sendiri pun turun padang bertemu dengan penyokong bagi menjelaskan apa yang berlaku dan dengar keluhan penyokong, takkan kita tak boleh buat?”

Oleh itu, beliau yang berjaya membawa Kedah meraih gelaran double treble itu berharap pengurusan Kedah akan lebih ramah dan mesra dengan penyokong.

Dalam pada itu, disebalik prestasi tidak menentu skuad Sang Kenari, Azraai enggan memberi sebarang komen mengenai taktikal atau pendekatan yang digunakan oleh ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak kerana menghormati jurulatih dari Singapura itu.

“Bagi saya ia sangat tidak beretika untuk komen terhadap taktikal yang digunakan oleh jurulatih (Aidil Sharin). Selama ini saya tidak pernah sentuh soal itu kerana setiap jurulatih mempunyai cara mereka tersendiri. Sebagai seorang jurulatih profesional saya harap dia tahu apa yang dia buat kerana tidak elok untuk kita menegur taktikalnya.”

Azraai juga tidak bersetuju jika Kedah mahu menukar ketua jurulatih di saat-saat ini kerana saingan liga pun sudah berjalan lebih separuh musim, jadi beliau harap Aidil dapat teruskan beri yang terbaik sehingga hujung musim ini sebelum pihak pengurusan buat perancangan baru.

Sementara itu, beliau juga memuji kemasukan dua pemain import baru iaitu pemain dari Thailand, Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Al-Mardi dari Jordan yang dilihat berjaya memberi impak dalam tempoh yang singkat.

Disebalik kekecewaan dengan prestasi ‘yo-yo’ pasukan Hijau Kuning, Azraai masih menaruh harapan kepada Kedah untuk kembali bangkit dalam baki saingan Liga Super.

Minggu depan iaitu pada 9 Ogos ini, anak buah Aidil Sharin akan bertemu PSM Makassar di Indonesia dalam perlawanan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.

Harapan penyokong kini adalah untuk melihat Kedah dapat mencipta kejayaan di Piala AFC dan juga Piala Malaysia yang akan berlangsung selepas tamat saingan Liga Super.