Imigresen FC belum mahu bawa masuk pemain import, keberanian PJ City jadi teladan ikut kemampuan
Kelab Imigresen FC (IFC) yang beraksi dalam Liga M3 akan terus menagih khidmat pemain tempatan selaku tenaga utama pasukan selaras dengan moto mereka selaku sebuah kelab pembangunan.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh pengurus pasukan, Mohd Iqmal Haqimie yang menyifatkan perkara ini sebagai peluang terbaik untuk terus melahirkan bakat-bakat tempatan sedia ada yang mempunyai potensi cukup besar di masa hadapan.
“Walaupun kami mempunyai dana mencukupi untuk mengambil pemain import, kami akan tetap dengan moto kami untuk memberi fokus kepada pemain tempatan.
Kita ada PJ City FC, sebuah pasukan besar sebagai panduan kita, tidak mustahil untuk kami mengikut jejak langkah mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Persoalan tentang pemain import ini tercetus setelah rombakan liga musim depan yang telah diumumkan sebelum ini oleh Malaysian Football League (MFL) memberi peluang kepada pasukan dari Liga M3 untuk terus naik ke Liga Super.
IFC berada di landasan yang terbaik selepas mereka berjaya mengesahkan slot ke pusingan suku akhir meskipun berbaki satu lagi perlawanan di dalam saingan kumpulan.
Perkara ini turut disambut baik oleh ketua jurulatih pasukan, Mat Zan Mat Aris yang melihat perkara ini sebagai medium terbaik untuk memajukan lagi industri bola sepak negara di masa hadapan.
Namun, pemilihan dan penilaian yang teliti perlu dilakukan bagi mengelakkan pasukan dari Liga M3 yang layak ke liga lebih tinggi ini sekadar melengkapkan kuota pasukan dan menjadi pasukan belasahan.
“Untuk saya bagus sekiranya dapat memberi peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi.
Tapi untuk bersaing, kita perlu pastikan pemain yang dipilih betul-betul mempunyai kualiti yang bagus.”
Tambahan pula, beliau yang pernah melatih beberapa pasukan ternama di Liga Malaysia seperti Melaka United dan Kuala Lumpur sebelum ini turut mengakui terdapat perbezaan ketara yang dapat dilihat di antara pasukan amatur di Liga M3 dan kelab dari liga yang lebih tinggi
“Bagi saya memang ada jurang yang besar antara pasukan dari liga ini dan pemain di liga utama.
Seperti yang kita tahu, ramai pemain Liga M3 sudah berada di penghujung karier sebagai pemain bola sepak.
Sebagai contoh, kita dapat melihat kehadiran ramai bekas pemain pasukan Liga Super yang membuat kemunculan bersama beberapa pasukan di Liga M3.”
IFC sendiri mempunyai beberapa orang pemain seperti bekas pemain Selangor FC, Nasriq Baharom serta bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Fauzi Majid.
Kehadiran pemain berpengalaman ini diharap dapat merealisasikan impian IFC untuk menjuarai saingan Liga M3 pada musim ini.
Pasukan pendahulu Liga M3 Kumpulan B, Harini FT dijangka akan menjadi lawan mereka di saingan suku akhir kelak.