Kehadiran pemain berpengalaman bantu beri motivasi untuk Imigresen FC melangkah lebih jauh

300

Ketua pasukan Imigresen FC (IFC), Fauzi Majid merupakan salah seorang pemain berpengalaman yang dibawa masuk untuk memperkuatkan lagi saingan di Liga M3 musim ini.

Beliau yang pernah bermain bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC di Liga Super sebelum ini gembira dengan tanggungjawab yang diberikan kepada semua pemain senior dalam meningkatkan moral rakan sepasukan.


“Kesemua pemain berpengalaman sentiasa memainkan peranan untuk membimbing pemain-pemain yang lain.

Peranan kami lebih kepada membantu memberi motivasi kepada pasukan tambahan pula kepada pemain yang lebih muda,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga menganggap kemasukan beberapa pemain pinjaman dari pasukan Liga Super musim ini sebagai antara pelengkap terbaik yang membantu pasukan untuk mempamerkan aksi berkualiti untuk berada di kedudukan empat teratas kumpulan.

“Setakat ini, pemain pinjaman juga banyak membantu pemain serta membawa pasukan untuk melangkah dengan lebih jauh.

Pengurusan mainkan peranan yang besar, dari segi persiapan dan sasaran yang diletakkan menunjukkan mereka ingin membawa pasukan ke peringkat yang lebih tinggi.”

Pengalaman yang dimiliki oleh pemain berusia 40 tahun tersebut akan terus diperlukan bagi membimbing pasukan berhadapan dengan saingan yang lebih sengit selepas ini di peringkat suku akhir.

Pada masa yang sama, seorang lagi bekas pemain pasukan Liga Super, Alif Samsudin melihat kemasukan ketua jurulatih yang baru turut memainkan peranan penting kepada kebangkitan pasukan menuju ke penghujung saingan kumpulan.

“Persediaan kami pada awal sedikit perlahan, kami mula bersama dua minggu sebelum saingan liga bermula.

Nampak peningkatan di waktu penghujung ini disebabkan ada kemasukan jurulatih dan pemain yang baru.”

Meskipun pernah bermain dengan pasukan besar seperti Negeri Sembilan FC dan Melaka United FC, Alif tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk membina persefahaman dengan rakan sepasukan yang rata-rata terdiri daripada pemain amatur.

“Tak kira dari mana pemain itu datang, yang penting cara kita memahami satu sama lain di atas padang sewaktu perlawanan.”

Selain dua pemain ini, bekas pemain Selangor FC, Nasriq Baharom merupakan salah seorang pemain berpengalaman yang turut memperkuatkan pasukan pada musim ini.