Zainal Abidin gembira dapat bertemu pasukan hebat seperti JDT, mahu pemain ambil peluang cipta nama

817

Ketua jurulatih Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui beliau gembira mendapat peluang untuk menentang pasukan terbaik di Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir Piala FA esok.

Menurutnya, para pemain mempunyai peluang dan ruang untuk mencipta nama pada perlawanan itu namun sedar tugas berat yang menanti mereka.


“Memang tak dapat dinafikan bahawa JDT adalah sebuah pasukan yang hebat, seluruh Malaysia gembira dengan kejayaan mereka di peringkat Liga Juara-Juara AFC.

Bagi para pemain saya, mereka perlu menjalankan tugas mengikut pelan permainan yang telah kita rancang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Zainal berkata, sejak dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Jun lalu, para pemain menunjukkan komitmen mereka untuk mengikut taktikal yang beliau mahukan.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa perkara lagi yang boleh diperbaiki dan ia akan mengambil masa.

“Ada ketika mereka tunjukkan mereka dapat terima perubahan tetapi ada kala masih di takuk lama.

Untuk membawa perubahan dalam jangka masa yang singkat agak sukar tetapi dengan pengalaman yang saya ada, saya akan cuba sedaya upaya.”

Dalam pada itu, beliau berkata pengurniaan gelaran Datuk yang diterimanya tempoh hari memberinya motivasi tambahan untuk terus berbakti dalam arena bola sepak tanah air.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana menghargai jasa beliau dalam bola sepak tempatan.