Faisal Halim mahu habiskan baki kontrak bersama Terengganu FC dahulu sebelum fikir destinasinya musim depan

3,525

Pemain sayap lincah, Faisal Halim memberitahu beliau enggan memikirkan lagi ke mana beliau akan pergi selepas kontraknya bersama Terengganu FC tamat pada hujung tahun ini.

Menurut Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey, fokusnya kini adalah untuk membantu pasukannya menang dalam perlawanan separuh akhir Piala FA hari ini.


“Sekarang ini saya masih ada baki kontrak lebih kurang empat bulan lagi, jadi saya belum fikir lagi mengenai perkara itu buat masa ini kerana mahu habiskan kontrak bersama Terengganu terlebih dahulu.

Saya harap dapat bantu pasukan Terengganu untuk menang pada perlawanan malam esok sekaligus layak ke final Piala FA,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebelum ini pihak pengurusan Terengganu telah menyatakan minat mereka untuk memberi kontrak lanjutan kepada pemain kebangsaan itu kerana mahu beliau terus beraksi bersama skuad Sang Penyu pada musim depan.

Namun sehingga kini, pemain berusia 24 tahun itu masih lagi belum memberi sebarang respon dan lebih selesa mengunci mulut dan fokus dengan aksinya bersama pasukannya.

Terengganu akan melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi merebut slot ke perlawanan akhir sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk beraksi di Piala AFC pada musim hadapan.

“Kita bermain di tempat sendiri dengan kehadiran puluhan ribu penyokong, jadi saya tidak mahu kecewakan peminat. Peluang sudah datang, jadi kita perlu ambil kesempatan ini sebaik yang mungkin.”

Mickey pada masa sama turut mengakui berdepan Selangor bukanlah tugas yang mudah, tetapi beliau dan rakan sepasukan akan cuba capai kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan.

“Apabila perlawanan kalah mati ini, sudah semestinya kedua-dua pasukan akan bermain secara berhati-hati kerana takut membuat kesilapan yang mudah, tetapi pada saya kami akan cuba tamatkan permainan dalam tempoh 90 minit.”

Pada separuh akhir pertama, Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah membelasah Penang FC 6-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim semalam dan kini menanti pemenang di antara Terengganu atau Selangor di perlawanan akhir nanti.