Siapa yang diberi peluang main untuk JDT, pasti akan bersungguh-sungguh – Syahmi Safari

1,202

Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari bertekad mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan selepas berjaya menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan sebagai pemain gantian.

Beliau merasakan ini adalah titik tolak buatnya untuk mendapatkan minit permainan selepas mengalami masalah kesihatan sebelum ini.


“Di JDT, sesiapa saja yang diberi peluang untuk bermain pasti akan bersungguh-sungguh kerana persaingan yang sengit dalam pasukan.

Ini yang paling penting kerana ia akan menjadikan pasukan lebih baik secara keseluruhan,”

katanya.

Beliau berjaya menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super menentang KL City FC tempoh hari dan perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Penang FC malam tadi.

Dalam pada itu, beliau mahu terus memberikan aksi terbaik dan berharap usahanya itu berjaya memikat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.

“Jika ada rezeki untuk saya bermain untuk Malaysia sudah tentu saya akan lakukan yang terbaik.

Buat masa ini saya hanya persembahkan aksi yang mantap bersama JDT dan ambil peluang yang ada untuk buktikan kemampuan.”

Syahmi turut berterima kasih kepada penyokong yang hadir pada perlawanan menentang Penang kerana memberi semangat tambahan buat para pemain.

Beliau menyifatkan atmosfera di Stadium Sultan Ibrahim luar biasa dengan sokongan yang diberikan.