Michael Feichtenbeiner bangga dengan aksi pemainnya walaupun mereka tumpas di tangan Terengganu FC

1,324

Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner memuji aksi pemainnya walaupun mereka terpaksa akur apabila tewas dalam perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Terengganu FC dalam penentuan sepakan penalti selepas mereka terikat 1-1.

“Ia adalah perlawanan tipikal apabila anda bermain dalam saingan piala. Pemain saya telah mempamerkan aksi yang cemerlang tetapi kami terpaksa akur apabila tewas ketika penentuan sepakan penalti.

Kita semua sedia maklum bahawa apabila perlawanan diheret ke penentuan penalti, apa sahaja boleh berlaku dan pada malam ini nasib tidak menyebelahi Selangor,”

katanya.

Selangor bermula garang apabila mendominasi sejak minit pertama lagi dan mereka berjaya membuatkan penyokong tuan rumah terdiam seketika apabila Norhakim Hassan menjaringkan gol buat Gergasi Merah Kuning pada minit ke-23.


Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama, namun masuk separuh masa kedua giliran Terengganu pula bermula garang apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi jaringan penyerang sensasi Faisal Halim.

“Pada pandangan saya pada separuh masa kedua kita bolos gol penyamaan terlalu awal tetapi kami terpaksa akur.

Ketika masa tambahan kami mempunyai beberapa peluang terbaik untuk mematikan perlawanan tetapi kami gagal menjaringkan gol dan akhirnya terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti. Apabila penalti, ia sentiasa akan menjadi 50/50.”

Tambahnya lagi, beliau tidak akan menyalahkan mana-mana pemain kerana kesemua yang beraksi telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang.

Dalam pada itu, Feichtenbeiner turut memuji atmosfera yang cukup menakjubkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila lebih 33,000 penyokong membanjiri stadium.

“Agak mustahil untuk kami mengekang Terengganu dalam 120 minit permainan kerana mereka bermain di tempat sendiri, ditambah dengan sokongan padu puluhan ribu penyokong mereka ditambah dengan pemain-pemain yang terbaik.

Kami ada peluang tetapi kami gagal untuk menjaringkan gol. Walaupun sukar untuk terima kekalahan ini, tapi sebuah pasukan perlu menang dalam perlawanan ini.”

Selepas terkandas di separuh akhir, Feichtenbeiner berkata beliau kini akan memberi fokus pada perlawanan Liga Super.

Selangor selepas ini akan kembali bertemu Terengganu pada 17 Ogos ini untuk saingan liga yang mana mereka pasti mahu membalas dendam atas kekalahan pada malam tadi di Stadium MBPJ nanti.