Ini bukan masa beri alasan, Piala AFC jadi pentas KDA FC tebus semula maruah musim ini

413

Setelah hampir sebulan, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan beraksi semula di pentas Piala AFC menentang PSM Makassar Selasa ini di Kapten I Wayan Dipta, Bali.

Ini merupakan perlawanan penting bagi menaikkan semula reputasi pasukan yang semakin tercalar selepas persembahan yang buruk dalam beberapa perlawanan sebelum ini.


Sejak kembali dari peringkat kumpulan Piala AFC di Bali Jun lalu, Kedah hanya menang satu daripada lima perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah, Khamal Idris Ali ada menjelaskan lima sebab yang menjadi punca kemerosotan Kedah.

Antara faktor yang diberi adalah transisi barisan pemain utama pasukan, kecederaan pemain utama pasukan, pemain diserang virus influenza serta jadual yang padat dan kerap beraksi di gelanggang lawan.

Namun, kenyataan yang dikeluarkan itu nampak seperti tidak kena masanya menjelang perlawanan hidup mati esok.

Ia seakan-akan penyataan mengaku kalah sebelum melawan dan seolah-olah menyediakan alasan sebelum bertanding.

Penyokong pasukan Hijau Kuning juga kelihatan tidak gembira dengan kenyataan itu dan menggesa supaya pihak pengurusan mencari jalan penyelesaian segera.

Alasan-alasan yang diberi juga nampak hanya sekadar mahu menutup kelemahan pasukan seperti jadual perlawanan yang padat.

Ini kerana bukan Kedah sahaja yang melalui jadual padat, tetapi banyak lagi pasukan yang terpaksa menghadapi perkara sama malah lebih teruk lagi.

Selain itu, beliau juga memberitahu bahawa Kedah tidak menghadapi masalah gaji musim ini, jadi sepatutnya mereka menampilkan prestasi yang lebih hebat berbanding musim lepas yang dibelenggu masalah gaji.

Tindakan mengeluarkan kenyataan seperti itu juga dilihat memakan diri kerana rata-rata penyokong tidak mahu menerima alasan yang diberikan dan ‘menghentam’ semula pengurusan.

Sudah terang lagi bersuluh penyokong hanya mahukan keputusan yang bagus, jadi seluruh pasukan, daripada barisan pengurusan sehinggalah pemain harus mula menunjukkan peningkatan.

Secara realistik, Kedah boleh dikatakan sudah terkeluar daripada perebutan kejuaraan liga serta Piala FA, jadi mereka harus sekurang-kurangnya mara lebih jauh pada kejohanan Piala AFC untuk mengukir sedikit senyuman di bibir peminat.